Dua penulis RAKAN Sarawak memenangi Anugerah ICT Ketua Menteri Edisi ke-6

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KUCHING: RAKAN Sarawak berjaya meraih tempat pertama bagi kategori Bahasa Inggeris dan tempat ketiga bagi kategori Bahasa Malaysia ‘Anugerah Media ICT Ketua Menteri Sarawak, Edisi ke-6, anjuran Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS).

Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud menyampaikan hadiah kepada para pemenang di pejabat beliau di Dewan Undangan Negeri pada 21 November 2013.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengarah Unit ICT Jabatan Ketua Menteri, William Patrick Nyigor, serta Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Datuk Teo Tien Hiong.

Penulis RAKAN Sarawak, Jenny Yap Siaw Hui memenangi hadiah pertama kategori Bahasa Inggeris untuk artikel bertajuk ‘Accelerating the Digital Transformation Momentum’, manakala Muhammad Fuad Jobli memenangi hadiah ketiga untuk kategori Bahasa Malaysia dengan artikel bertajuk ‘Pangkalan Data Bahasa Sukuan Ver 2.0 Dilancarkan’. Kedua-dua artikel dikeluarkan dalam buletin RAKAN Sarawak terbitan Faradale Media-M Sdn Bhd. Untuk membaca lanjutan artikel tersebut bolehlah melayari laman web RAKAN Sarawak: www.rakansarawak.com

Anugerah ICT ini adalah hasil cetusan idea Ketua Menteri dan telah dianjurkan sejak tahun 2007.

Pertandingan ini dianjurkan oleh SAINS dengan kerjasama Unit Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICTU) Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Penerangan Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Angkatan Zaman Mansang Sarawak(AZAM).

Ia bertujuan menggalak penulisan laporan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan ICT daripada wartawan dan penulis Sarawak dalam usaha mempromosikan penggunaan ICT serta kepentingan ICT kepada rakyat Negeri ini.

Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori Bahasa Malaysia; Bahasa Inggeris; dan Bahasa Cina.

Tahun ini menyaksikan sebanyak 18 penyertaan diterima daripada Kuching, Miri dan Sibu.

Pemenang kategori Bahasa Malaysia adalah Haini Darani daripada Utusan Sarawak, manakala tempat kedua dimenangi Syahrul Nizam Junaini daripada Utusan Pembangunan Azam.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga kategori Bahasa Inggeris dimenangi penulis daripada The Borneo Post – Justin Yap dan Jonathan Wong.

Bagi kategori Bahasa Cina, Jong Wan Joon daripada Sin Chew Daily merangkul tempat pertama manakala Jap Pei Ye (See Hua Daily) mendapat tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh Hii Lu Fang (Sin Chew Daily).

 

Comments are closed.