RM35 juta untuk Klinik Kesihatan Daro

IMG_2996-1_0Peruntukan berjumlah RM35 juta telah diluluskan untuk pembinaan Klinik Kesihatan Daro yang dijangka akan dapat menampung 130 orang pesakit pada satu-satu masa.

Pembinaan klinik kesihatan ‘Jenis 4’ dengan kuarters yang baharu ini adalah untuk menggantikan klinik yang terbakar pada Oktober 2015.

Ia kini masih di peringkat perancangan serta reka bentuk di bawah Jabatan Kerja Raya Sarawak.

Perkara ini dimaklumkan Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi YB Dr Haji Annuar bin Rapaee pada Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 pada 12 Mei 2017.

Menurut beliau, skop kerja projek klinik kesihatan yang baharu tersebut termasuklah pembinaan bangunan klinik, pembinaan dua unit ‘kelas D’, lapan unit ‘kelas F’ dan 16 unit ‘kelas G’ serta melibatkan pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan.

Antara kakitangan yang akan ditempatkan di klinik baharu tersebut termasuk enam orang pegawai perubatan, tiga orang pegawai farmasi, lapan orang penolong pegawai perubatan, tujuh orang jururawat, enam orang jururawat masyarakat, 12 orang pembantu perawatan kesihatan, enam orang penolong pegawai farmasi, lima orang jurumakmal perubatan, satu orang juru x-ray, seorang pegawai sains pemakanan dan empat orang pemandu kenderaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan belum ada sebarang perancangan untuk membina klinik baharu untuk menggantikan Klinik Kesihatan Nyabor sedia ada yang memberi khidmat kesihatan kepada seramai 5,027 orang.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu sekurang-kurangnya RM95,000 akan digunakan bagi membaik pulih Klinik Kesihatan Nyabor yang semakin usang dan terdedah kepada risiko kebakaran.

Menurut beliau, Klinik Kesihatan Nyabor telah disenaraikan di bawah Bidang Keberhasilan (KRA) Pelan Transformasi Luar Bandar Sarawak tahun 2017.

Comments are closed.