Sikap tidak endah, punca anak tiada dokumen pengenalan diri

IMG_2996-1_0Sikap tidak endah ibu bapa adalah antara punca yang menyebabkan anak-anak mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri justeru ia wajar diberi perhatian yang serius.

Setelah timbul masalah anak-anak tidak dapat didaftar atau menerima kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, dan program bantuan yang disediakan oleh kerajaan barulah timbulnya kesedaran dan kesungguhan untuk mendaftar kelahiran anak-anak mereka.

Tempat tinggal yang jauh dari Pejabat Pendaftaran Negara, masalah pengangkutan dan faktor kemiskinan juga antara punca yang menyebabkan kelahiran anak-anak gagal untuk didaftarkan.

Perkara ini ditegaskan Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah pada Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 pada 12 Mei 2017.

Menurut beliau, bagi mengatasi masalah tersebut, satu Pasukan Petugas Khas (PPK) telah ditubuhkan pada 26 Ogos 2015 bagi menangani masalah penduduk pribumi yang lahir dan menetap di negeri Sarawak tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Namun, inisiatif PPK ini akan berakhir pada 31 Disember 2017 dan setakat Disember 2016, sebanyak 63 operasi yang melibatkan 15 kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN telah dilaksanakan.

Dalam pada itu, sebanyak 4,098 jumlah permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut hanya 2,884 telah diluluskan manakala 1,214 permohonan ditolak.

Pada tahun ini, PPK telah menyasar untuk melaksanakan sebanyak 50 operasi dan setakat 30 April, sebanyak 23 operasi telah dijalankan.

Sebanyak 226 permohonan telah diluluskan manakala 243 ditolak kerana kelahiran tidak berlaku di negeri Sarawak, tidak ada perakuan daripada penghulu, ketua kaum atau tuai rumah dan juga disebabkan ibu bapa yang tercatat dalam sijil lahir bukan ibu bapa kandung.

Comments are closed.