Taman Kekal Pengeluaran Makanan bakal dibina di Betong

IMG_2996-1_0Sebuah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seluas 25 hektar akan dibangunkan di Stesen Pertanian Debak, Betong tahun hadapan.

Seramai enam uahawan tani akan dipilih menjadi peserta program TKPM tersebut untuk mengusahakan tanaman seperti pisang, jambu batu, jambu air, limau dan sayur-sayuran.

Perkara ini dimaklumkan Menteri Muda Pertanian, YB Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail yang menjawab pertanyaan ADUN Layar, YB Encik Gerald Rentap Jabu semasa persidangan hari ketiga Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua DUN Ke-18 pada 15 Mei 2017.

Dengan langkah tersebut, YB Dr Haji Abdul Rahman berharap agar peserta TKPM di Betong akan mencontohi kejayaan 12 orang peserta TKPM di Kabuloh di Bahagian Miri.

Usahawan tani di Kabuloh telah mampu meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM50,000 dengan masing-masing mengusahakan tapak seluas lima hektar dengan tanaman pisang kapok dan sayur-sayuran.

Kini, terdapat dua TKPM – melibatkan 69 usahawan tani – yang telah dilaksanakan di Sarawak iaitu di Semenggok, di Bahagian Kuching, dan di Kabuloh yang dilaksanakan dengan kerjasama SABERKAS.

Selain itu, tiga kawasan TKPM sedang dibangunkan iaitu di Rampangi (Kuching), Penipah (Mukah) dan Pejiru (Bau).

Lapan lagi kawasan TKPM sedang dalam perancangan, termasuk TKPM di Debak yang dijangka akan beroperasi menjelang tahun 2020.

Secara keseluruhannya, projek TKPM di Sarawak mensasarkan keluaran hasil sebanyak 10,000 tan metrik bernilai RM18 juta setahun dan akan melibatkan 165 usahawan tani dengan tanah seluas 729 hektar.

TKPM adalah program Kerajaan Persekutuan yang bertujuan mewujudkan Zon Kekal Pengeluaran Tanaman Makanan dan menggalakkan penglibatan usahawan tani dan sektor swasta dalam pengeluaran makanan.

Comments are closed.