Homestay terus menjana pendapatan penduduk luar bandar

IMG_2996-1_0Homestay merupakan salah satu perkhidmatan dalam sektor eko-pelancongan berasaskan komuniti atau Community Based Eco-Tourism yang berjaya menjana pendapatan bagi penduduk luar bandar.

Pada tahun 2016, perkhidmatan homestay telah menjana sebanyak RM4 juta dan merekodkan seramai 35,971 orang pelawat.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, YB Datuk Lee Kim Shin semasa menjawab soalan daripada ADUN Telang Usan, YB Dennis Ngau pada hari kelima Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18, pada 17 Mei.

YB Datuk Lee turut menyenaraikan 10 homestay yang berjaya mencatat jumlah pelawat tertinggi, iaitu Kampung Telaga Air, Kuching dengan jumlah 8,000 orang pelawat, Kampung Pichin, Serian (4,274), Rumah Patrick, Sungai Tangap, Niah (3,187), Rumah Benjamin Angki, Kanowit (2,858), Ba’ Kelalan, Lawas (2,034), Bario Highland, Miri (1,933), Kampung Krokong, Bau (1,918), Kampung Santubong, Kuching (1,493), dan Kampung Bako, Kuching (1,447).

Tambah beliau, selain perkhidmatan homestay, pelbagai pesta yang dianjurkan sebagai tarikan pelancongan juga mampu menjana pendapatan penduduk luar bandar.

Malah, kawasan luar bandar juga kaya dengan hasil kraf yang diperbuat daripada hasil hutan.

Sehubungan itu, Kraf Malaysia dan Sarawak Craft Council sedia memberi bimbingan dan latihan kepada penduduk luar bandar yang berminat menceburi bidang penghasilan kraftangan bagi menjana pendapatan mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kesenian Sarawak juga akan terus bekerjasama dengan masyarakat tempatan dengan menyediakan kursus, bimbingan dan latihan bagi menggalak penyertaan penduduk luar bandar dalam aktiviti berunsur pelancongan selain memohon peruntukan bagi membangun produk baharu serta menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur sedia ada.

Dari segi peruntukan, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM20 juta manakala Kerajaan Negeri pula memperuntukkan RM34 juta bagi membolehkan kementerian melaksanakan projek fizikal di bawah RMK-11.

Bagi menyediakan kursus dan latihan perindustrian berkaitan pelancongan, sebanyak RM580,000 telah diperuntukkan.

Sementara itu, peruntukan untuk menggiatkan aktiviti promosi di bawah kendalian Perbadanan Pelancongan Sarawak telah dinaikkan daripada RM30 juta dalam RMK-10 kepada RM95 juta dalam RMK-11.

Comments are closed.