Kemudahan belia dan sukan dinaik taraf tahun ini

IMG_2996-1_0Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan bahawa kerajaan kini dalam proses menaik taraf beberapa kemudahan sukan.

Antaranya ialah Kompleks Sukan Dalat di mana trek lariannya telah siap dibina, serta Kolam Renang Betong di mana kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan dan dijangka siap pada Disember 2018.

Ini dimaklumkan dalam ucapan penggulungan beliau pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18, pada 18 Mei 2017.

Sementara itu, kerja-kerja menaik taraf kompleks sukan di Sri Aman dan Bintulu baru sahaja dimulakan pada awal bulan ini dan dijangka siap pada bulan Februari 2018 manakala projek naik taraf kompleks sukan di Miri dan Kapit akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini.

Di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), kerja-kerja menambah baik trek larian di Kompleks Sukan Sarikei akan mula dilaksanakan pada bulan Jun dan dijangka siap dalam masa sembilan bulan.

Selain itu, projek-projek lain di bawah RTP termasuklah Kompleks Sukan Kanowit yang telah pun siap pada awal bulan ini serta Kompleks Sukan Asajaya yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada bulan September.

Pada perkembangan berkaitan, YB Datuk Haji Abdul Karim turut memaklumkan bahawa tiga kem belia turut dinaik taraf iaitu Kem Belia Pueh (Lundu), Kem Belia Kemuyang (Sibu) dan Kem Belia Mukah.

Projek naik taraf kem-kem tersebut mula dilaksanakan pada bulan Mac dan dijangka siap November tahun ini.

Comments are closed.