Lebih 10,000 keluarga keluar dari paras kemiskinan menerusi 1AZAM

IMG_2996-1_0Seramai 10,554 ketua isi rumah (KIR) di Sarawak telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan menerusi program 1AZAM.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah, AZAM Tani paling berjaya membantu peserta program 1AZAM mengakhiri zaman kemiskinan dengan 6,968 KIR, diikuti AZAM Niaga (1,400 KIR), Azam Khidmat (1,356 KIR) dan AZAM Kerja (820 KIR).

Beliau menjelaskan perkara ini ketika menjawab pertanyaan ADUN Beting Maro, YB Haji Razaili bin Haji Gapor pada persidangan hari kelima Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 pada 17 Mei 2017.

Setakat ini, senarai e-Kasih Sarawak merekodkan seramai 42,278 KIR telah menyertai program 1AZAM.

Daripada jumlah tersebut, 27,384 KIR telah menyertai AZAM Tani, 6,168 (AZAM Khidmat), 5,387 (AZAM Niaga), 3,293 (AZAM Kerja) manakala tiada maklumat terperinci tentang 25 KIR.

Bagi kawasan Beting Maro pula, seramai 1,025 KIR telah mendaftar dalam e-Kasih dan daripada jumlah tersebut 196 KIR dikategorikan sebagai ‘miskin tegar’ dengan pendapatan kurang daripada RM660 sebulan.

Seramai 335 KIR dikategorikan sebagai ‘miskin’ iaitu berpendapatan kurang daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) atau RM990 sebulan, manakala dua KIR tergolong dalam kategori ‘mudah miskin’.

Sementara itu, 492 KIR dikategorikan sebagai ‘terkeluar’ dengan pendapatan melepasi PGK setelah mampu menjana pendapatan lebih daripada RM990 sebulan.

Comments are closed.