Integriti untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan mapan

IMG_2996-1_0Integriti akan terus menjadi instrumen penting dalam memastikan pentadbiran dan pembangunan kekal mapan.

Atas faktor tersebut, kerajaan negeri telah menerapkan nilai integriti di kalangan penjawat awam termasuklah menjadikan integriti salah satu nilai penting di antara enam “nilai bersama” (shared values) yang telah digariskan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

Ini ditegaskan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), YB Datuk Talib Zulpilip ketika Sesi Penggulungan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 pada 18 Mei 2017.

Malah, jelas beliau hanya penjawat awam yang berintegriti tinggi diambil berkhidmat dan mereka juga akan melalui beberapa pendekatan kompetitif dan proses pengambilan lima fasa yang lebih telus.

Sebelum melalui fasa tersebut, mereka terlebih dahulu perlu melalui tiga fasa pertama – tapisan akademik, ujian penguasaan bahasa, proses di pusat penilaian – sebelum melalui profil psikologi dan seterusnya diterima untuk temu duga.

Bukan setakat itu sahaja, pemohon perlu melalui saringan insolvensi dan butiran akuan haruslah disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.

Penjawat awam juga akan ditapis melalui oleh pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan bahawa tidak ada sabitan terhadap mereka di mahkamah sebelum mereka boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat di samping perlu mengisytiharkan harta setiap lima tahun.

Penjawat awam juga perlu mengisytiharkan status pinjaman pendidikan, sekiranya ada, bagi memastikan mereka tidak terikat dengan komitmen kewangan.

Secara keseluruhannya, beliau menyifatkan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah melaksanakan sistem integriti yang terbaik, namun percaya ia dapat dipertingkatkan terutama apabila fungsi integriti diletakkan di bawah kementerian beliau.

Comments are closed.