Kerangka kerja diwujud bagi menangani isu sosial semasa

IMG_2996-1_0Kerajaan negeri telah mewujudkan kerangka kerja bagi membolehkan isu-isu sosial semasa dikenalpasti dan ditangani secara bersepadu dan holistik.

Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan kerangka falsafah dalam konteks melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata Kementerian beliau amat mengambil berat terhadap isu-isu sosial yang boleh menjelaskan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

Terdapat sembilan isu sosial kini diberi perhatian iaitu penyalahgunaan dadah, kehamilan remaja, penceraian, rogol, penyakit kelamin berjangkit HIV dan AIDS, keganasan rumah tangga, jenayah jalanan, gelandangan, dan masalah dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18, pada 18 Mei 2017.

Menurut beliau, bagi menangani masalah tersebut kerajaan akan terus merancang serta melaksana inisiatif yang merangkumi aktiviti kajian dan penyelidikan, pengurusan pangkalan data, pemantauan tren sosial negeri, penganjuran majlis kesedaran sosial, dan membangunkan program-program intervensi sosial.

Bagi membantu kementerian beliau dalam hal tersebut, tiga jawatankuasa kerja telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kerja Perancangan dan Dasar; Jawatankuasa Kerja Penyelidikan dan Penilaian; dan Jawatankuasa Program.

Tambah beliau, kerajaan turut mewujudkan governance structure yang merangkumi Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Sosial Bahagian (JPPSB); Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Sosial Negeri Sarawak (JPPSN); dan Jawatankuasa Penyelarasan Penyelesaian Isu-isu Sosial Negeri (JPPISN).

Dengan terlaksananya governance structure ini, kerajaan telah menjalinkan kerjasama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan pelbagai pihak yang berkepentingan bagi mewujudkan pelan tindakan dan program intervensi bersepadu berdasarkan pelbagai dimensi penyelesaian untuk dilaksanakan.

Comments are closed.