Penglibatan komuniti melalui CERT, pendekatan terbaik menghadapi bencana

IMG_0546-1

Simulasi menyelamat mangsa banjir oleh CERT ketika Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017

Inisiatif Kerajaan Negeri menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti atau CERT adalah contoh terbaik dalam kesiapsiagaan awal menghadapi bencana dengan penglibatan penduduk yang aktif.

Perkara ini dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Shahidan Kassim yang mewakili Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 di Tebingan Kuching pada 8 Oktober.

Beliau turut memuji program-program komuniti secara berperingkat yang telah banyak dilaksanakan oleh CERT pada tahun ini yang diselaraskan oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama semua agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan bahawa PETRONAS turut menaja program-program CERT.

Tajaan tersebut adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat PETRONAS sejajar dengan misinya untuk terus menyumbang ke arah kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.

Setakat ini, seramai 1,500 orang telah dilatih sebagai anggota CERT di bawah tajaan syarikat petroleum nasional itu dan untuk tahun ini, PETRONAS telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta sebagai dana untuk melaksanakan program CERT di seluruh negeri Sarawak.

Sejak tahun 2015, PETRONAS telah menjalankan kerjasama dengan UKPN, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis DiRaja Malaysia untuk melaksanakan program-program CERT.

CERT yang ditubuhkan pada tahun 2010 berfungsi sebagai pasukan yang akan bertindak di peringkat awal di lokasi bencana sebelum ketibaan agensi penyelamat.

Tambah beliau, bagi menyelesaikan masalah banjir, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa projek tebatan banjir di seluruh negeri untuk tempoh jangka masa panjang terutama di bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu dan Bau.

Projek-projek tersebut merangkumi Pengawalan Sungai Sarawak (Baraj), Projek Tebatan Banjir Sibu, Pump Gate di Bau dan Empangan Bengoh.

Jelas beliau, sebagai contoh, sistem baraj di Sungai Sarawak berupaya untuk mengawal kadar limpahan air sungai ketika musim Monsun Timur Laut serta hujan luar biasa.

Sistem tersebut juga berupaya mengimbangi paras air sungai sekaligus mengurangkan risiko banjir.

Beliau turut memaklumkan hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan lebih banyak projek sedemikian, khususnya di kawasan yang kerap berlaku banjir.

Comments are closed.