Peruntukan tambahan RM1.1 bilion bantu PKS di Sarawak Tempuhi Waktu Sukar Covid-19

art 93-01-20

Pengumuman peruntukan tambahan RM1.1 bilion bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang BKSS 2.0 pada 10 April yang lepas, membuktikan keprihatinan kerajaan Sarawak bagi untuk meringankan beban kewangan PKS di negeri ini.

Bantuan tersebut juga merangkumi Perusahaan Mikro serta penjaja dan peniaga kecil bagi memastikan kesinambungan perusahaan mereka dalam menempuhi waktu sukar yang berhadapan dengan Wabak Coronavirus (Covid-19)

Menerusi BKSS 2.0, terdapat empat Langkah Tambahan iaitu Pinjaman Mudah Tanpa Faedah kepada PKS, Geran Khas Berjumlah RM1,500 kepada Penjaja dan Peniaga Kecil menerusi Sarawak Pay, Penghapusan Kadar Faedah dari dua peratus kepada kosong peratus bagi tiga tahun setengah dibawah Skim Mikro Kredit dan Pengecualian Sewa kepada PKS dalam  Sektor  Operasi  Runcit di premis milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Pakej BKSS 2.0 berkenaan akan menyuntik sejumlah mudah tunai sebanyak RM1.1 bilion terhadap ekonomi Sarawak dan akan mendorong aktiviti perniagaan domestik.

Berkaitan dengan pinjaman mudah tanpa faedah kepada PKS, ia turut mendapat kerjasama beberapa institusi kewangan termasuk Maybank, Hong Leong Bank dan RHB Bank, di bawah Tabung Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM).

Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menyerap kos faedah daripada PKS tempatan dan pinjaman faedah sebanyak RM1 bilion akan disediakan kepada PKS melibatkan implikasi kewangan untuk subsidi kadar faedah dalam tempoh tiga tahun setengah adalah RM80.7 juta.

Skim tersebut akan memanfaatkan lebih 40,000 PKS di seluruh Sarawak, namun PKS perlu memohon pinjaman terus dari mana-mana cawangan sama ada Maybank, Hong Leong Bank atau RHB Bank yang turut diberi pilihan skim pinjaman sama ada Islamik atau konvensional.

Di bawah langkah berkenaan juga, semua PKS berdaftar Sarawak mestilah terlebih dahulu mematuhi definisi Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan.

Manakala bagi PKS yang beroperasi kurang dari tiga tahun, mereka masih boleh memilih untuk memohon Skim Kredit Mikro RM50 juta melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED), seperti yang diumumkan pada BKSS pertama 23 Mac 2020.

Comments are closed.