Pelihara Hidupan Marin dengan Mengurangkan Penggunaan Plastik

art 110-01-20

Setiap tahun, sampah marin telah meningkat dengan kemasukan lapan (8) juta tan plastik ke dalam laut.

Hari ini, terdapat lima (5) trilion sampah plastik di lautan. Plastik bukan hanya didapati di permukaan perairan, malah juga didapati di perairan laut dalam seperti di Mariana Trench.

Plastik adalah sejenis bahan yang tidak terurai sama sekali tetapi hanya berkecai menjadi mikroplastik, iaitu lebih kecil daripada ukuran lima (5) milimeter dalam diameter dan akan terus berada di permukaan air.

Lebih daripada satu juta burung laut, 100,000 mamalia laut dan pelbagai spesis ikan yang tidak terkira jumlahnya mati akibat pencemaran plastik setiap tahun.

Pada tahun 2018, 90 peratus burung laut didapati mengandungi bahan plastik di dalam perut.

Malah, burung-burung laut juga mengalami masalah kesihatan yang mengejutkan. Selain mempunyai saiz fizikal yang kecil, fungsi ginjal hidupan berkenaan turut terjejas dan mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Oleh yang demikian, manusia mesti memainkan peranan dalam memelihara hidupan marin dengan membersihkan sampah sarap di persekitaran yang akhirnya akan hanyut di lautan.

Membersihkan bahan buangan plastik sudah pasti bukanlah kaedah yang mapan jika kita tidak menghentikan bahan buangan ini daripada memasuki laut.

Oleh itu, penyelesaian berkesan yang kita dapat lakukan adalah dengan mengurangkan penggunaan plastik untuk satu masa dan menggantikannya dengan bahan yang boleh diguna semula.

Sebolehnya, amalkan penggunaan semula seperti tidak menggunakan bungkusan atau bekas plastik semasa memesan makanan yang dibawa pulang dan membawa beg kitar semula ketika membeli belah di pasar raya.

Galakan untuk menghasilkan lebih banyak produk bebas plastik atau beralih kepada bahan yang lebih mesra alam juga perlu dilakukan.

Comments are closed.