10 Alternatif yang mampu mengurangkan Jejak Karbon

art 118-01-20

Setiap aktiviti yang dilakukan manusia di muka bumi akan mempengaruhi alam sekitar. Salah satunya adalah aktiviti yang menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau.

Gas rumah hijau memerangkap haba yang masuk ke atmosfera bumi lalu menyebabkan pemanasan global.

Jumlah pelepasan gas rumah hijau akibat daripada aktiviti manusia disebut sebagai jejak karbon (carbon footprint) dan secara teknikal, jejak karbon adalah sumbangan setiap individu kepada pelepasan gas rumah hijau.

Jejak karbon terbahagi kepada dua, iaitu jejak karbon primer (primary carbon footprint) dan jejak karbon sekunder (secondary carbon footprint).

Jejak karbon primer adalah jejak karbon yang dihasilkan daripada proses pembakaran langsung bahan bakar fosil, contohnya penggunaan kenderaan bermotor.

Manakala jejak karbon sekunder pula adalah jejak karbon yang dihasilkan daripada proses kitaran produk yang digunakan dari pembuatan sehingga penguraian.

Contoh jejak karbon sekunder adalah produk yang digunakan atau dimakan setiap hari. Semakin banyak produk diguna atau dimakan, semakin besar jugalah jejak karbon terhasil.

Berikut adalah 10 alternatif lestari yang boleh mengurangkan jejak karbon:

Penyedut minuman keluli tahan karat – Lebih daripada 500 juta plastik digunakan setiap hari di seluruh dunia.

Penyangkut baju kayu – Penyangkut kayu lebih kuat daripada plastik dan mengurangkan penghasilan sisa buangan plastik.

Beg beli belah boleh diguna semula – Penggunaan beg yang boleh diguna semula adalah alternatif lestari kepada penggunaan 500 bilion plastik setiap tahun.

Botol air boleh guna semula – 91% botol plastik yang digunakan di seluruh dunia akhirnya menjadi longgokan di tapak pelupusan sampah.

Sabun buku dan perapi dalam bentuk bar – Lebih pekat dan tahan lama serta lebih mesra alam.

Tuala yang diperbuat daripada kertas buluh – Boleh dibasuh dan diguna semula untuk 100 kali.

Kenderaan elektrik – Kos menggerakkan kenderaan elektrik adalah jauh lebih murah daripada kenderaan yang menggunakan bahan bakar petrol.

Pembalut yang diperbuat daripada lilin lebah – Alternatif yang baik kepada penggunaan pembungkusan plastik.

Barangan seperti kutleri keluli tahan karat – Menggantikan penggunaan plastik sekali guna.

Mentol lampu LED – Kos yang lebih tinggi tetapi penggunaan tenaga elektrik yang lebih rendah, efisyen dan tahan lama.

Oleh yang demikian, mempertimbang jejak karbon adalah penting kerana kesan rumah hijau yang mengakibatkan pemanasan global serta gangguan ekosistem.

Gangguan ekosistem membunuh spesies penting yang memainkan peranan dalam menjaga spesies lain dalam populasi tertentu seterusnya mengakibatkan jangkitan, penyakit serta berlaku pertambahan berlebihan atau kekurangan populasi di dalam spesies tertentu.

Seterusnya, berlaku ketidaksuburan tanah, pencemaran air dan udara, kemarau dan banjir. Malah, akan sampai ke satu tahap apabila banyak negara tidak lagi boleh mengeluarkan makanan dan menyebabkan krisis kekurangan makanan global.

Menghapuskan jejak karbon secara total tidak akan dapat kita lakukan, namun sedikit usaha untuk megurangkannya mungkin memberi kesan besar kepada pengurangan gas rumah hijau.

Lebih daripada itu, pengurangan jejak karbon boleh menjimatkan perbelanjaan harian tanpa mengurangkan kualiti hidup kita.

Comments are closed.