Pendekatan inovatif Agensi Inovasi Malaysia perangi COVID-19

IMG_2257

AIM-COVID1 – Elasti-Mask, topeng muka pakai buang dengan hujung elastik yang sesuai dengan bentuk wajah pemakai dan mencegah kebocoran udara dari hujung permukaannya, memberikan perlindungan yang lebih baik dalam persekitaran pusat rawatan COVID-19 yang mana jangkitan mudah merebak

art 117-02-20

AIM-COVID2 – Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Naser Jaafar berkata, syarikat-syarikat HIP2 yang mempunyai penyelesaian inovatif untuk mencegah COVID-19 sedang menyiapkan prototaip mereka untuk menjadikannya produk yang siap untuk pasaran sebelum menyerahkannya ke barisan hadapan dan kepada komuniti penyelidikan perubatan tempatan

Agensi Inovasi Malaysia (AIM), telah mengambil pendekatan terkini dan inovatif dalam memerangi wabak COVID-19, melalui empat syarikat Program Berimpak Tinggi 2 (HIP2) di bawah PlaTCOM Ventures Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh AIM) dengan mengenengahkan produk perubatan untuk pengesanan virus dan klinikal, dan sebuah syarikat pelaburan utamanya yang memulakan penyelidikan vaksin COVID-19.

Syarikat-syarikat tersebut adalah Twin Catalyst Sdn Bhd, TTMC Sdn Bhd, Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (Mediven), Biogenes Technologies Sdn Bhd dan IN3Bio.

Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Naser Jaafar berkata, “Tiga daripada empat syarikat HIP2 yang mempunyai penyelesaian inovatif untuk mencegah COVID-19 sedang menyiapkan prototaip mereka untuk menjadikannya produk yang siap untuk pasaran sebelum menyerahkannya ke barisan hadapan dan kepada komuniti penyelidikan perubatan tempatan yang akan meningkatkan perlindungan yang terdapat pada PPE; meningkatkan kekebalan dari jangkitan untuk barisan hadapan yang merawat pesakit yang positif; mengukuhkan ujian makmal untuk sampel dari pesakit; dan meningkatkan alat diagnostik untuk meningkatkan pengesanan COVID-19. “

Twin Catalyst, sebuah syarikat permulaan teknologi perubatan yang berpusat di Sibu, Sarawak kini sedang mendapatkan pembiayaan untuk menghasilkan “Elasti-Mask” secara besar besaran; topeng muka pakai buang dengan hujung elastik yang sesuai dengan bentuk wajah pemakai dan mencegah kebocoran udara dari hujung permukaannya, memberikan perlindungan yang lebih baik dalam persekitaran pusat rawatan COVID-19 yang mana jangkitan mudah merebak, dan melengkapkan bekalan N95 tradisional dan topeng muka hospital 3 lapisan kepada pekerja barisan hadapan.

Manakala TTMC Sdn Bhd pula telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia dan U-MAG Acrylic Products (M) Sdn Bhd untuk menghasilkan Kotak Aerosol, yang merupakan penutup pelindung telus yang diletakkan di kawasan kepala dan dada pesakit untuk memudahkan intubasi endotrakeal (endotracheal intubation) –prosedur untuk mewujudkan pengudaraan mekanikal melalui tiub yang dimasukkan ke dalam saluran udara.

Kotak Aerosol ini melindungi jururawat dan doktor daripada terkena titisan air mikro yang dikeluarkan daripada pesakit yang dijangkiti ketika hembusan nafas sambil memberi kebebasan kepada tangan mereka untuk terus menjalankan prosedur.

Dalam usaha untuk menambah baik ujian makmal, Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (Mediven), telah membangunkan satu kit ujian makmal yang baru untuk menguji sampel daripada pesakit yang menunjukkan simptom COVID-19, termasuklah mereka yang menghidap influenza dan sebarang penyakit seperti influenza.

Ujian tiub tunggal “Kit Ujian GenoAmp Real-Time RT PCR influenza A & B/COVID- 19/Mers-CoV” Mediven boleh mengesan dan membezakan antara Influenza A (H1N1 & H3N2) dan Influenza B secara serentak; COVID-19 (termasuklah gen E, RdRPgene dan gen lonjakan), serta Mers-CoV daripada satu titisan cecair badan pesakit. Ianya boleh diserahkan secara besar-besar kepada pekerja barisan hadapan yang menguruskan wabak dan akan mengurangkan masa yang diperlukan untuk menguji setiap sampel individu dengan signifikan.

Naser berkata, walaupun tidak berada di barisan hadapan menghadapi wabak, namun masih berada di hadapan memberi sokongan kepada penyelidikan vaksin adalah Aptamers dari Biogene Technologies Sdn Bhd – sejenis pengganti sintetik yang boleh menggantikan antibodi yang didapati daripada haiwan, yang digunakan untuk menghasilkan alatan diagnostik biologi yang berupaya mengesan kehadiran virus atau bakteria tertentu.

Syarikat itu telah menggunakan pengganti sintetik bagi pengesanan COVID-19 daripada UltraLab, kit penanda DNA jantina biosensor mudah alih pertama yang pada mulanya digunakan untuk mengenalpasti jantina ikan arowana di dalam program pembiakan terpilih.

UltraLab telah berjaya menghasilkan solusi ujian yang lebih mudah dan praktikal yang boleh digunapakai di lapangan oleh penternak yang tidak mempunyai banyak pengetahuan di dalam biologi molekul.

Ianya telah digunakan sebagai aplikasi diagnostik molekul dalam penjagaan kesihatan manusia, pembiakan haiwan, pertanian, dan keselamatan makanan. Aptamers juga turut digunakan di dalam penyelidikan vaksin dan penyediaan anti-venom.

Penyelesaian-penyelesaian inovatif ini merupakan sebahagian daripada 200 projek oleh 186 syarikat di bawah program HIP2. PlaTCOM telah memperuntukkan hampir RM100 juta untuk program-program yang telah berjaya mencatatkan kadar pengkomersialan sebanyak 40% setakat ini.

PlaTCOM menyediakan sokongan dan bantuan lengkap kepada PKS daripada ‘konsep ke pengkomersilan’ melalui peruntukan akses kepada bantuan teknikal, risikan pasaran, kemudahan inkubasi, kemudahan ujian dan perkhidmatan relevan yang lain – kesemuanya dalam satu platform.

Sokongan-sokongan ini membantu untuk mengurangkan risiko dalam cabaran untuk memulakan perniagaan dan membolehkan PKS membangunkan produk dan perkhidmatan dengan kos yang lebih rendah dan masa yang lebih cepat untuk dipasarkan.

Naser juga berkata, “Selain daripada PlaTCOM, anak syarikat milik penuh AIM, Innocorp Ventures Sdn Bhd turut menjalankan pelaburan ekuiti strategik di dalam projek inovasi berimpak tinggi.”

“Syarikat pelaburan terbesar, In3Bio, kini sedang membangunkan rawatan immunologi bagi pelbagai jenis kanser. In3Bio juga sedang memulakan pembangunan vaksin COVID-19. Projek ini bertujuan untuk membantu petugas barisan hadapan di Malaysia.”

“Dengan menggunakan kaedah pembangunan vaksin tradisional, kapasiti pengeluaran akan disesuaikan dengan matlamat utama untuk melindungi kesihatan petugas barisan hadapan. Syarikat tidak akan mengambil keuntungan daripada bekalan kepada petugas barisan hadapan tetapi ianya bertujuan untuk mendapatkan kelulusan untuk pengeluaran di dalam negara dan dipasarkan ke negara-negara ASEAN.

In3Bio akan bekerjasama dengan International Medical University (IMU), Institut Kajian Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).”

Naser juga menambah, pelaburan bersama AIM dan MAVCAP dalam autopsi digital di United Kingdom (I-Gene UK; peneraju global dalam autopsi digital) kini sedang mendapat permintaan mendadak bagi perkhidmatan Autopsi Digital oleh kerana peningkatan drastik dalam angka kematian akibat wabak ini.

Ketika kelima-lima syarikat ini menyertai barisan hadapan untuk langkah-langkah inovatif oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membendung COVID-19, usaha-usaha juga diambil untuk memastikan kelangsungan perniagaan syarikat teknologi pemula niaga di Malaysia.

Syarikat-syarikat HIP2 yang lain dan syarikat-syarikat pemula niaga di bawah portfolio pelaburan ekuiti AIM akan dibantu untuk memohon pakej intervensi yang akan dilancarkan oleh MOSTI dan Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama Malaysia Debt Ventures Berhad.

Dalam pengumuman Kemudahan Bantuan Bagi Syarikat Teknologi Pemula Niaga pada 24 April 2020, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin berkata kajian oleh kementerian mendapati 40 peratus syarikat pemula niaga di Malaysia akan kehabisan aliran tunai dalam masa dua bulan, lantas menjadikan langkah ini amat penting untuk diambil.

Ketika ini, syarikat-syarikat HIP2 yang terkesan dengan penularan wabak telah diberikan lanjutan tiga bulan untuk tarikh akhir pelaksanaan projek mereka bagi memberikan mereka masa untuk menghubungi semula vendor-vendor pengkomersilan setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Ketika tempoh PKP, para Pengurus Projek PlaTCOM telah ditugaskan memantau projek projek individu mereka dan mendapatkan kemaskini secara berkala daripada syarikat syarikat HIP2. Sekiranya ada syarikat yang terkesan oleh COVID-19, mereka boleh mengemukakan permohonan rasmi kepada PlaTCOM untuk menjalankan proses kelulusan bagi lanjutan projek.

Comments are closed.