Jana Pendapatan Sebagai Penyedia Perkhidmatan Melalui Sara-X

Art-126-01

Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan seperti menyelenggara penghawa dingin, elektrik, memotong rumput dan sebagainya dengan mudah melalui aplikasi Sara-X

Centexs Commercial Services (CCS), anak syarikat Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) Sarawak yang diwujudkan pada bulan Julai 2019 telah membangunkan aplikasi telefon pintar Sara-X untuk membantu alumni CENTEXS menjana pendapatan sendiri atau melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Sara-X adalah satu aplikasi yang dibangunkan untuk memudahkan komuniti mendapatkan perkhidmatan seperti penyelenggaraan penghawa dingin, elektrik, memotong rumput dan sebagainya dengan hanya ‘klik’ di telefon pintar masing-masing.

Sara-X merupakan singkatan perkataan ‘Sarawak Experts’ yang merujuk kepada rakyat Sarawak yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang seperti perkhidmatan kecantikan, pengkomputeran, mencuci kenderaan, menyelenggara penghawa dingin dan elektrik, memotong rumput, pendawaian elektrik dan tukang jahit.

Untuk membolehkan pengguna mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan serta memilih peenyedia perkhidmatan yang tersenarai di dalam aplikasi ini, mereka hanya perlu memuat naik aplikasi Sara-X ke dalam telefon pintar masing-masing.

Manakala, bagi mereka yang berminat untuk menjadi penyedia perkhidmatan melalui aplikasi Sara-X, mereka perlu menghadiri kursus latihan selama sehari yang dikendalikan oleh pihak CENTEXS.

Kursus latihan diadakan secara percuma dan setiap peserta akan diberikan sijil yang diiktiraf oleh industri-industri yang terlibat, sekaligus akan menjadi jaminan untuk meyakinkan pengguna bahawa setiap perkhidmatan yang disediakan itu dilakukan oleh pakar yang bertauliah.

Sesungguhnya, inisiatif-inisitif yang diwujudkan seperti menyediakan latihan, kemahiran dan teknologi membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam membantu belia-belia di negeri ini menjana pendapatan bagi memperbaiki taraf hidup sekaligus untuk membebaskan para belia daripada masalah pengangguran dan belenggu kemiskinan.

Comments are closed.