BROSS Bantu PKS Jana Pendapatan dari Rumah

art-137-01

11 Bazar Ramadan dalam talian yang dikenali sebagai ‘Bazaar Ramadan Online Sarawakku Sayang’ (BROSS) boleh dikunjungi di laman sosial Facebook

Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak menjana pendapatan dari rumah melalui Bazaar Ramadan Online Sarawakku Sayang (BROSS) 2020 yang telah mula beroperasi sejak 1 Ramadan 1441H.

BROSS dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak dengan kerjasama Pentadbir Kumpulan Facebook (FB) Bazaar Ramadan di Sarawak untuk membantu PKS mempromosi dan memasarkan produk mereka secara dalam talian.

Melalui BROSS, peniaga makanan dan minuman akan dapat mempromosi, memasar dan menjual produk mereka dengan lebih efisien dan selamat selain memudahkan orang awam untuk mendapatkan produk makanan dan minuman dengan lebih mudah dan cepat.

BROSS juga dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan, peniaga dan perkhidmatan penghantar makanan yang telah terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan di seluruh negara sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pelaksanaan program BROSS ini dijangka akan meningkatkan jumlah penyertaan dan penglibatan usahawan, peniaga dan masyarakat dalam penggunaan platform e-dagang sejajar dengan era digital ekonomi masa kini.

Justeru, PKS terutama usahawan wanita digalakkan untuk mengambil peluang menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui BROSS untuk meningkatkan pendapatan mereka.

MINTRED sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada rakyat di negeri ini untuk memanfaatkan platform digital yang telah diwujudkan, malah rakyat juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Sarawak Pay yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak bagi membuat pembayaran.

Pendaftaran untuk BROSS sama ada sebagai usahawan atau wakil usahawan boleh dibuat secara dalam talian di https://forms.gle/CSYLs8R25kmbwFFm9.

Comments are closed.