Pencapaian pelaksanaan BKSS 1.0 dan BKSS 2.0

art-143-01-20

Semua sedia maklum bahawa, kerajaan Sarawak telah mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang pertama pada 23 Mac 2020 dan diikuti oleh BKSS 2.0 pada 10 April 2020 secara keseluruhannya berjumlah RM2.25 bilion adalah bertujuan untuk meringankan beban kewangan rakyat, para peniaga dan industri,  akibat wabak COVID 19.

Beberapa pencapaian pelaksanaan BKSS 1.0 dan BKSS 2.0 yang telah dilaksanakan termasuklah pembayaran tunai fasa pertama untuk kumpulan B40 di bawah BKSS 1.0 berjumlah RM97.7 juta telah dikreditkan ke akaun bank 391,037 penerima bantuan pada 15 April 2020. Bagi 15,206 penerima bantuan yang tidak mempunyai akaun bank, tuntutan secara tunai melalui BSN boleh dibuat mulai 17 April 2020.

Sejumlah RM3.2 juta telah dikreditkan ke 12,856 akaun penerima barisan hadapan yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia pada 27 April 2020.

Lebih 10,000 peniaga dan penjaja yang menyewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mendapat manfaat daripada pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan dan diskaun 50% untuk penyewaan pasar dan gerai yang berkuatkuasa pada 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

Sejumlah 2 juta topeng muka percuma telah diedarkan kepada rakyat sejak 17 April 2020.

Manakala 8,575 penyewa flat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) pula telah mendapat manfaat daripada penangguhan sewa sejak April 2020. 28,377 Ketua Isi Rumah termasuk 85,000 ahli keluarga mereka telah mendapat manfaat daripada moratorium Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) atas semua pembayaran pinjaman perumahan dan rumah panjang dan caj penyelenggaraan untuk projek perumahan selama 6 bulan mulai April 2020.

Seramai 144 Pengusaha Kecil dan Sederhana di Sarawak telah mendapat manfaat daripada penangguhan pinjaman Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) mulai April 2020.

Bagi seramai 1,800 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan telah menerima Pembayaran Geran Khas Fasa Pertama bernilai RM750 melalui Sarawak Pay pada 30 April 2020.

Manakala sejumlah 366 permohonan pula telah diterima di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak yang melibatkan dana berjumlah RM14.48 juta.

Lebih daripada 3,000 Pengusaha Kecil dan Sederhana seluruh Sarawak telah memohon program SME Special Relief Fund yang melibatkan dana berjumlah RM1.3 bilion. Setakat ini lebih daripada RM539 juta telah diluluskan dan baki permohonan masih lagi menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia.

Selain melaksanakan inisiatif BKSS 2020, Kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan Program Pengagihan Bantuan Makanan di seluruh Sarawak dan telah memberi manfaat kepada 380,568 Ketua Isi Rumah.

Comments are closed.