Covid-19: Pentingnya memakai penutup hidung dan mulut bagi membantu mengawal jangkitan awal

art-146-01-20

Sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan beberapa sektor ekonomi dibuka semula bermula 4 Mei lalu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memakai penutup hidung dan mulut ketika berurusan di luar rumah atau berada di tempat awam.

Menurut Persatuan Thoracic Malaysia dalam satu kenyataan pada 12 Mei, memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam merupakan cara yang dapat membantu pengawalan jangkitan Covid-19.

Persatuan tersebut menegaskan bahawa setiap nasihat yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia adalah amat penting termasuklah keperluan memakai penutup hidung dan mulut yang terbukti berkesan berdasarkan kajian saintifik, seterusnya membantu mengekang penularan jangkitan Covid-19 selain menanam keyakinan rakyat.

Kenyataan tersebut juga menjelaskan, bukti saintifik menunjukkan penutup hidung dan mulut berkesan dalam mengawal jangkitan awal dan merupakan kunci inisiatif kesihatan awam kerana sebilangan besar jangkitan COVID-19 berlaku pada fasa asimptomatik (tidak menunjukkan gejala).

Ia terbukti berkesan sama seperti amalan membasuh tangan sebagai langkah mengurangkan jangkitan.

Kenyataan tersebut turut menyatakan, bukti daripada negara lain menunjukkan strategi pemakaian penutup hidung dan mulut sebagai sebahagian daripada pendekatan pelonggaran seharusnya dimaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah jalan terbaik.

Sehubungan itu, Persatuan Thoracic Malaysia ingin menegaskan kepada pembuat dasar dan orang ramai bahawa, memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam merupakan kunci dalam membantu mengawal jangkitan COVID-19.

Masyarakat perlu maklum, tidak kira sama ada memakai penutup hidung dan mulut buatan sendiri atau yang dibeli di farmasi kerana kedua-duanya membantu mengawal penularan jangkitan Covid-19 selagi digunakan dengan betul.

Comments are closed.