Inisiatif Kerajaan Sarawak Membantu Petani dan Nelayan

 

art-145-01

Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) melalui Pejabat Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) telah melakukan pembelian lambakan hasil pertanian daripada para petani

Pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia telah memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita bermula pada 18 Mac lalu sehingga telah menjejaskan golongan petani dan nelayan yang bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Namun, Kerajaan Sarawak begitu prihatin dengan kebajikan petani dan nelayan di negeri ini sehingga melaksanakan inisiatif dengan mengumpul dan memasarkan hasil petani melalui Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) agar para petani tidak hilang punca pendapatan sepanjang tempoh PKP.

Inisiatif ini bukan saja berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi para petani dan nelayan yang tidak mempunyai tempat untuk berniaga, mengurangkan lebihan hasil pertanian yang tidak dijual, malah ianya turut memberi manfaat kepada pengguna di seluruh negeri serta melancarkan bekalan rantaian makanan sepanjang tempoh PKP.

Di bawah inisiatif ini, sebanyak RM600,000 telah disalurkan kepada Persatuan Nelayan Sarawak bagi tujuan membeli hasil tangkapan nelayan yang mempunyai kesukaran menjual, RM1.5 juta kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi membeli hasil pertanian manakala RM200 juta disalurkan kepada FAMA untuk memborong hasil pertanian.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, ia sedikit sebanyak telah dapat mengurangkan kerugian kepada warga tani yang terjejas akibat tidak dapat memasarkan hasil pertanian mereka selepas kerajaan mengambil langkah drastik bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negara kita.

Comments are closed.