Peraturan Perlindungan Kesihatan sepanjang PKPB di Sarawak diwartakan

art-150-01-20

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, YB Professor Dato Sri Dr Sim Kui Hian

Kerajaan Sarawak telah mewartakan Peraturan Perlindungan Kesihatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula pada 14 Mei hingga Jun 2020.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, YB Professor Dato Sri Dr Sim Kui Hian, langkah tersebut dilaksanakan untuk mengelak gelombang kedua Covid-19 berlaku selepas pembukaan semula sektor ekonomi dan kepulangan mahasiswa dari seluruh negara ke negeri ini.

Beliau menjelaskan, pewartaan peraturan berkenaan boleh dilaksanakan kerana Sarawak mempunyai kuasa autonomi ke atas Kerajaan Tempatan.

Sarawak perlu memperkenalkan beberapa langkah lain dan jika tidak diwartakan, langkah-langkah yang diperkenalkan tidak memiliki kedudukan yang sah, jelas beliau pada sidang media harian Covid-19 oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada 14 Mei 2020 di Kuching.

Antara langkah perlindungan kesihatan yang dilaksanakan adalah pemasangan gelang pengesanan kepada rakyat Sarawak yang dikuarantin di rumah selepas kembali ke negeri ini.

Walau bagaimanapun, tambah YB Dato Sri Profesor Dr Sim, usaha berkenaan memerlukan kerjasama dan sokongan daripada seluruh warga Sarawak dalam memastikan penularan wabak Covid-19 berjaya dikawal.

Beliau turut mengingatkan mereka yang dikuarantin supaya mematuhi segala aturan dan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Comments are closed.