‘COVIDTrace’ Membantu Mengesan Kontak Rapat COVID-19

Art-152-01

Aplikasi COVIDTrace boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Store

Kerajaan Sarawak telah mencipta sebuah aplikasi terbaharu dikenali sebagai COVIDTrace untuk mengesan kontak rapat individu yang didapati positif COVID-19.

COVIDTrace yang dicipta hasil kerjasama Kerajaan Sarawak dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd (SAINS) ini adalah sebagai persiapan untuk mengekang gelombang kedua COVID-19.

Fungsi utama COVIDTrace ialah untuk mengesan serta mendapatkan maklumat orang sekeliling yang berada dalam lingkungan jarak tiga (3) meter secara automatik.

Kerajaan Sarawak menyeru semua rakyat untuk memuat turun aplikasi ini bagi membolehkan pihak berkuasa memantau dan mengesan setiap kontak rapat individu yang telah djangkiti COVID-19.

Semakin ramai rakyat memuat turun aplikasi ini, semakin banyak maklumat lokasi dapat dikesan dengan mudah dan ianya akan disimpan dalam telefon pintar selama 21 hari.

Apabila pihak berkuasa mengesan individu yang didapati positif COVID-19, arahan segera akan diberikan kepada kontak rapat supaya melakukan saringan secepat mungkin.

Aplikasi ini berfungsi dengan menggunakan fungsi ‘bluetooth’ dan sekiranya anda  bertemu dengan orang lain yang turut memuat turun aplikasi ini, maka ia akan mengesan kehadiran anda berdua dan menyimpan data tersebut di dalam telefon bimbit anda.

Sekiranya salah seorang daripada anda disahkan positif COVID-19, maka anda hanya perlu memuat naik data tersebut untuk kegunaan pihak berkuasa mencari kontak terdekat yang telah anda jumpa sepanjang 21 hari yang lepas.

Comments are closed.