Mencapai sasaran liputan bekalan air dan elektrik 100 peratus

art-157-01-20

 

Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti terus komited dalam meningkatkan liputan bekalan air dan elektrik 100 peratus di seluruh negeri menjelang 2025.

Satu pelan induk sumber bekalan air dan elektrik luar bandar juga telah dibangunkan bagi memastikan rakyat mendapat kebaikan daripada pelaksanaan holistik dan sistematik keperluan asas berkenaan.

Menurut Menteri Utiliti YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air adalah pendekatatan holistik bagi pembangunan lestari kemudahan bahan mentah dan air terawat melalui strategi pelaksanaan grid air, penggunaan air di bahagian hilir empangan hidroelektrik sebagai sumber air mentah serta pembangunan sumber-sumber air mentah yang lain.

Strategi-strategi lain termasuklah pelaksanaan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS), meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air, pelaksanaan Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) serta pemodenan dan pendigitalan bekalan air.

Jelas YB Dato Sri Dr Stephen Rundi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 18 Mei 2020, cadangan projek grid air merentasi seluruh Sarawak dari selatan ke utara menghubungkan fasiliti-fasiliti rawatan air bagi grid air berterusan.

Penyambungan saluran air yang terputus akan dilaksanakan dengan pemasangan paip baharu bagi meningkatkan penyambungan dan kebolehtahanan infrastruktur bekalan air.

Skim bekalan air baharu akan dicadangkan dan grid air dikenal pasti dalam Pelan Induk akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan pada masa sama, Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan bil digital, pembayaran dalam talian dan aplikasi perkhidmatan, pengesanan kebocoran dan gangguan secara automatik serta pengenalan satu bil utiliti.

Bagi pelaksanaan projek SAWAS di bawah Projek Rakyat untuk fasa seterusnya, sejumlah RM135 juta telah diperuntukkan untuk kos keseluruhan.

SAWAS akan dilaksanakan serentak dengan projek SARES kerana kuasa elektrik memerlukan operasi sistem bekalan air berdiri sendiri (stand-alone) sebagai sebahagian daripada pelan bersepadu untuk masyarakat luar bandar.

Menurut beliau, secara keseluruhan, liputan bekalan air di Sarawak meningkat sejak beberapa tahun daripada 80 peratus pada 2015 kepada 82.6 peratus pada 2019 dan peningkatan di luar bandar mencatatkan peningkatan daripada 59 peratus pada 2015 kepada 64.8 peratus pada 2019.

Kementerian Utiliti menjangkakan liputan bekalan air di luar bandar Sarawak akan meningkat ke 67.7 peratus dan untuk keseluruhan negeri dijangka meningkat ke 84 peratus pada tahun ini.

Manakala pelan induk bekalan elektrik luar bandar pula bertujuan untuk membekalkan tenaga menerusi pelbagai skim penyambungan bagi mencapai liputan 24 jam untuk semua komuniti luar bandar di negeri ini.

Bagi komuniti pedalaman yang tiada akses bekalan elektrik, mereka akan dibekalkan dengan sumber tenaga diperbaharui seperti solar atau sistem hidro mini di bawah Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES).

Liputan bekalan elektrik menunjukkan peningkatan secara keseluruhan, daripada 92 peratus pada 2015 kepada 97 peratus pada 2019 dan di luar bandar meningkat daripada 83 peratus kepada 93 peratus.

Tahun ini, liputan bekalan elektrik secara keseluruhan akan mencapai 99 peratus dan di luar bandar 97 peratus.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan sebanyak RM5.17 bilion untuk pembangunan dan perkhidmatan utiliti di luar bandar, iaitu RM2.8 bilion untuk bekalan air dan RM2.37 bilion untuk bekalan elektrik.

Peruntukan RM2.8 bilion untuk bekalan air kini telah ditambah menjadi RM4 bilion untuk membolehkan pelaksanaan beberapa projek bekalan air utama dapat dimulakan sekarang sehingga dapat dilaksanakan dalam RMK-12.

Kira-kira RM2.55 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan 234 projek bekalan air bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan bertekanan rendah dengan 116 projek sudah siap dan 118 projek sedang dalam pelaksanaan.

Untuk projek bekalan elektrik luar bandar, projek bernilai hampir RM1.2 bilion telah dilaksanakan dan lebih banyak projek akan dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang dan sebilangannya dijangka selesai pada akhir tahun ini.

Beberapa projek yang mempunyai skop kerja yang lebih luas akan dilaksanakan sehingga tahun 2021.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM5.17 bilion dalam RMK-11 dan bersetuju meningkatkan peruntukan bagi projek-projek bekalan air daripada RM2.8 bilion kepada RM4 bilion.

Comments are closed.