Masyarakat Digital Perlu Peka dengan Jenayah Siber

Art-172-01

Jenayah siber seperti penyebaran berita palsu, perjudian dalam talian, buli siber, penyebaran virus, penggodam, phising attack, stalker, scam, dan cyber grooming boleh menyebabkan pelaku dihukum penjara

Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah menawarkan kursus literasi digital menerusi platform e-Pembelajaran dan salah satu topik penting diperkenalkan ialah ‘Jenayah Siber’ pada modul Keselamatan Dalam Talian.

Jenayah siber adalah suatu perbuatan berniat jahat yang dilakukan menggunakan komputer dan internet sehingga boleh menyebabkan mangsa menderita atau mengalami kerugian yang sangat besar dan mereka yang melakukan jenayah ini boleh disabitkan kesalahan di sisi undang-undang yang mengakibatkan hukuman denda atau penjara.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan yang bertarikh 2 November 2019, terdapat 4,487 kes penipuan telekomunikasi yang membabitkan kerugian berjumlah RM203 juta.

Sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kerugiaan kira-kira RM400 juta membabitkan kes jenayah siber dan merujuk kepada statistik, sekurang-kurangnya  25 hingga 30 laporan mengenai jenayah siber setiap hari.

Dalam e-Pembelajaran, masyarakat digital diingatkan bahawa privasi dan keselamatan diri sangat penting semasa menggunakan platform digital sebagai medium untuk mendapatkan maklumat, bersosial, transaksi urusniaga atau berkomunikasi.

Masyarakat digital turut didedahkan dengan jenis-jenis jenayah siber antaranya penipuan phishing (phising attack), pengintipan (stalker), penyebaran berita palsu, perjudian dalam talian, buli siber, penyebaran virus, penggodam, penipuan (scam), dan cyber grooming.

Oleh itu, masyarakat digital pada hari ini diingatkan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan penipuan cara terbaharu melalui whatsapp, web dan aplikasi palsu kerana ‘scammer’ semakin berleluasa.

‘Scammer’ akan memperkenalkan diri mereka sebagai Pegawai Polis, Pegawai Mahkamah dan Pegawai Bank untuk mendapatkan maklumat kewangan seperti nombor akaun bank, PIN dan TAC daripada anda.

Untuk mengelakkan kecurian data peribadi anda, jangan sesekali dedahkan maklumat akaun, nombor PIN atau TAC anda sebaliknya anda diingatkan untuk mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan anda.

Masyarakat digital juga dinasihatkan agar tidak menjawab e-mel atau panggilan daripada pihak yang tidak dikenali sebaliknya mereka perlu membuat pengesahan dengan sumber yang boleh dipercayai dengan melayari laman web atau media sosial rasmi.

Comments are closed.