Penggunaan teknologi dalam Perkhidmatan Awam pasca Covid-19 dipertimbang

art-173-01

Ketua Setiausaha Negara, YBhg Datuk Seri Mohd Zuki Ali

Kerajaan akan mempertimbang penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam yang kini menjadi normal baharu ketika negara berdepan wabak Covid-19 untuk dipraktikkan ketika pasca pandemik tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Negara YBhg Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu program televisyen oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 14 Mei lepas, penggunaan teknologi seperti mesyuarat melalui sidang video telah diperkenalkan dalam sektor kerajaan sebelum ini, namun kini ia digunakan sepenuhnya dan banyak memberikan manfaat ketika wabak Covid-19.

Jelas beliau, keperluan bekerja dari rumah atau mesyuarat secara maya mungkin tidak terlintas di fikiran penjawat awam sebelum ini, walaupun ia telah lama wujud.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan penjawat awam supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada kini supaya normal baharu yang sedang dihadapi dapat membantu perkhidmatan awam untuk memastikan kelancaran dan khidmat kepada masyarakat tidak terganggu.

YBhg Datuk Seri Mohd Zuki juga tidak menolak kemungkinan untuk kerajaan mempertimbangkan penggunaan teknologi selepas berakhirnya Covid-19 supaya boleh menjimatkan lagi peruntukan membina ruang pejabat yang baharu dan tidak memerlukan kos peralatan yang tinggi oleh kerana hanya sebilangan pegawai sahaja diperlukan untuk hadir ke pejabat.

Dalam pada itu, beliau menyeru sektor awam supaya menjadi contoh kepada sektor swasta dalam mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Comments are closed.