Sektor pelancongan di Sarawak dijangka pulih dalam masa terdekat

art-174-01-20

Rainforest World Music Festival (RWMF 2020) merupakan antara acara pelancongan popular di Sarawak yang terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19

Sektor pelancongan di Sarawak, terutama segmen eko-pelancongan atau yang melibatkan alam semula jadi dijangka kembali meningkat dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah optimis bahawa pembukaan semula industri pelancongan secara berperingkat mampu memberi sinar baharu kepada pemain-pemain industri berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau berharap supaya para pemain industri pelancongan terus bersabar dalam menempuh tempoh ekonomi yang sukar ini akibat pandemik Covid-19.

Beliau yang merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak percaya bahawa keadaan akan kembali seperti sedia kala apabila kesemua premis yang menawarkan perkhidmatan pelancongan akan dibuka semula dalam waktu terdekat.

Menurut beliau, sekiranya keadaan kembali pulih, sudah pasti para pemain industri pelancongan mampu menjalankan operasi perniagaan seperti biasa.

Beliau turut menasihatkan golongan yang terlibat dalam sektor pelancongan agar mempunyai perancangan rapi dalam mengatur strategi kewangan biarpun berdepan kesukaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dikuatkuasakan.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan Sarawak telah menangguhkan semua acara yang ditaja oleh kementerian tersebut berikutan penularan wabak Covid-19.

Setakat ini, status penganjuran Rainforest World Music Festival (RWMF 2020) yang sepatutnya diadakan pada Julai nanti masih belum diputuskan sama ada diteruskan atau ditangguhkan.

Comments are closed.