Program Saringan Prihatin (PSP), subsidi untuk majikan jalankan saringan COVID-19 terhadap pekerja

art-182-01-20

Kementerian Sumber Manusia bersetuju menyediakan subsidi kepada majikan yang menjalankan ujian COVID-19 terhadap pekerja menerusi perluasan skop Program Saringan Prihatin (PSP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berkuatkuasa 1 Jun 2020.

Menurut Menteri Sumber Manusia YB Datuk Seri M. Saravanan, program subsidi tersebut yang akan menggunakan peruntukan dana sebanyak RM200 juta yanag telah diluluskan oleh Perkeso sebelum ini membenarkan majikan membuat tuntutan subsidi RM150 bagi setiap saringan COVID-19 yang telah dijalankan ke atas pekerja yang mencarum dengan Perkeso.

Jelas beliau, Kementerian Sumber Manusia bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kerja Raya bersetuju supaya skop PSP Perkeso diperluaskan dengan menambah bilangan penyedia perkhidmatan saringan COVID-19.

Sehubungan itu, majikan boleh menghantar pekerja menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital yang diluluskan oleh KKM.

Selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjalankan saringan secara bersasar supaya rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan, program subsidi tersebut akan memberi keutamaan kepada pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Bagi pekerja yang tidak termasuk dalam golongan sasar berkenaan, kos saringan perlu ditanggung majikan sebagai kesinambungan usaha pencegahan jangkitan COVID-19 dalam kalangan semua pekerja di negara ini.

Tambah beliau, prosedur program subsidi tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Portal Prihatin https://prihatin.perkeso.gov.my yang disediakan oleh Perkeso.

Comments are closed.