e-Dagang Membawa Perubahan Drastik Dalam Dunia Perniagaan

Art-191-01

Pemasaran produk dan perkhidmatan menerusi Facebook antara yang paling popular dan berkesan ketika ini

Kaedah penjualan dan pengedaran produk atau perkhidmatan telah mengalami perubahan yang drastik setelah wujudnya pemasaran digital atau e-dagang.

Kewujudan e-dagang telah membuatkan sistem pengedaran produk dan perkhidmatan menjadi lebih mudah kerana peniaga tidak perlu lagi melalui berbagai lapisan sistem pengedaran sebelum produk atau perkhidmatan sampai kepada pengguna.

Malah, e-dagang turut memberi impak yang sangat besar kepada peniaga dan usahawan antaranya yang paling ketara ialah keuntungan bersih menjadi lebih tinggi kerana kos iklan, pengangkutan dan gaji pekerja sudah dapat dikurangkan.

Manakala, produk juga boleh dipasarkan ke serata tempat tanpa sempadan secara tidak langsung, potensi untuk meluaskan pasaran menjadi lebih mudah kerana lokasi penjualan tidak lagi terhad kepada sesuatu kawasan.

Melihat kepada impak positif e-dagang ini, kerajaan telah menggalakkan peniaga atau usahawan memperkenalkan perniagaan mereka kepada orang ramai menggunakan medium internet kerana ia mampu membawa keuntungan yang sangat besar kepada mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, Kerajaan Sarawak melalui Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah melaksanakan program Randau Digital di seluruh Sarawak untuk memperkenalkan ekonomi digital khasnya kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan usahawan tempatan.

Objektif program tersebut ialah supaya JKKK mempunyai pengetahuan untuk membimbing usahawan di kawasan masing-masing menggunakan internet dan teknologi digital memperluaskan perniagaan mereka.

Selain itu, mereka turut didedahkan dengan strategi dan tindakan yang boleh diambil untuk menyediakan golongan usahawan mereka dalam menghadapi perubahan yang akan dibawa oleh ekonomi digital pada tahun-tahun akan datang.

Comments are closed.