Pelaksanaan PKPP Berteraskan Tujuh Strategi

Art-198-01

Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020 dengan berteraskan kepada tujuh (7) strategi.

Tujuh strategi tersebut ialah Pengukuhan Kesihatan Awam; Perundangan dan Penguatkuasaan; Pengukuhan Kawalan Sempadan; Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi; Pembudayaan Kebiasaan Baharu; Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti; dan Perlindungan Golongan Berisiko.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin dalam perutusan khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 7 Jun 2020.

Menurut beliau, strategi ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri mengenai pelaksanaan PKPP yang akan dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan di peringkat Kerajaan Persekutuan manakala di peringkat Kerajaan Negeri, strategi ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Pelaksanaan strategi ini pastinya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti.

Sejak PKP dilaksanakan hampir tiga (3) bulan yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan langkah yang wajar dalam menangani dan membendung wabak COVID-19 misalnya dengan melakukan kawalan dan sekatan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Sehubungan itu, bermula daripada 10 Jun 2020 ini, kerajaan akan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa misalnya pergi bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti yang lain.

Namun begitu, rakyat tetap diingatkan agar terus mengambil tanggungjawab secara serius untuk memastikan wabak COVID-19 kekal terkawal serta mengamalkan kebiasaan baharu dalam kehidupan dan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Comments are closed.