PENJANA galak perniagaan dalam talian dan beri tumpuan pada PKS

art-199-01-20

Kerajaan Persekutuan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan sektor perniagaan beralih secara dalam talian sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas.

Langkah berkenaan didorong oleh kejayaan e-dagang dalam mengurangkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa syarikat-syarikat tempatan menghentikan operasi beberapa bulan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Antara iniisiatif yang diperkenalkan termasuklah pemberian geran padanan RM140 juta di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk latihan teknologi, subsidi penjual dan bantuan penjualan.

Kerajaan dan sektor swasta akan mengendalikan kempen ‘Shop Malaysia Online’ bagi menggalakkan rakyat membeli belah dalam talian dengan kod promosi dan baucer diskaun yang akan diberikan kepada pelbagai platform e-dagang.

Kempen tersebut melibatkan peruntukan RM70 juta daripada kerajaan yang akan dipadankan dengan sektor swasta.

Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat pada peringkat pertengahan, kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digital.

Jumlah tersebut termasuk RM100 juta membabitkan Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah, dan RM100 juta Geran Automasi Pintar, iaitu setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta.

Dalam usaha membantu kelangsungan PKS terbabit dalam sektor kepentingan yang disasarkan, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA yang boleh dipohon mulai pertengahan Jun 2020 dengan had sehingga RM500,000 bagi setiap PKS.

Comments are closed.