Program Agropreneur Muda Terus Diperkasakan

Art-215-01Syarat asas permohonan program ini ialah pemohon haruslah warganegara Malaysia berumur di antara 18 hingga 40 tahun serta boleh membaca, mengira dan menulis

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) terus memperkasakan Program Agropreneur Muda yang telah diwujudkan di dalam perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pada tahun ini, permohonan bagi Program Agropreneur Muda telah dibuka dalam tiga fasa iaitu Fasa 1 (1 – 31 Januari 2020); Fasa 2 (1 – 31 Mei 2020 dilanjutkan sehingga 15 Jun 2020); dan Fasa 3 (1 – 30 September 2020).

Melalui program ini, kerajaan mahu menggalak lebih ramai golongan muda berumur di antara 18 hingga 40 tahun terlibat dalam sektor keusahawanan agro melalui empat sektor utama dalam rantaian nilai sektor pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan.

Selain itu, kerajaan juga mahu mengubah persepsi golongan muda terhadap sektor pertanian sebagai industri yang berdaya maju seterusnya menjadikan industri agromakanan sebagai bidang kerjaya masa depan yang menjana pendapatan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011 – 2020).

Program ini merupakan satu inisiaitif yang baik untuk golongan belia kerana ia mampu meningkatkan pendapatan agropreneur muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi serta pasaran yang kompetitif.

Agensi-agensi di bawah MOA yang terlibat dalam Program Agropreneur Muda ini ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar,  Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

 

Comments are closed.