Kuasai temuduga secara maya dan lakukan persediaan

art-224-01

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, semakin ramai majikan beralih kepada kaedah temuduga secara maya.

Situasi ini menuntut pencari kerja untuk menguasai temuduga maya yang dilakukan dari jarak jauh melalui peranti teknologi sama ada telefon pintar, persidangan video serta pelbagai platform komunikasi dalam talian yang lain.

Menurut Pengurus Pembangunan Tenaga Kerja Dagang NeXchange Bhd, Zety Zalina Mohd Zain, kunci kepada kejayaan temuduga video adalah calon perlu bersedia untuk melengkapkan diri mereka dengan alat teknologi yang diperlukan dan mengujinya terlebih dahulu.

Tambah Zety, persediaan temuduga maya adalah sama seperti persediaan untuk temuduga secara bersemuka.

Individu yang menghadiri temuduga perlulah menyediakan jawapan yang sesuai untuk soalan yang sering ditanyakan semasa sesi temuduga untuk memastikan kelancaran sesi temuduga dalam talian dan tidak tersekat-sekat.

Ketua Sumber Manusia Innovation Associates Consulting Sdn Bhd, Mohd Ghaus Omar pula menasihatkan pencari kerja juga perlu mempunyai kemahiran teknikal yang mencukupi dalam menggunakan teknologi untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Jelas Mohd Ghaus, amat penting bagi calon supaya memastikan sambungan Internet yang stabil kerana talian internet yang tidak stabil akan menjejaskan kelancaran sesi temuduga dan mengecewakan.

Comments are closed.