Sasaran dua juta daripada lima juta pelancong untuk tahun ini

art-231-01Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MOTAC) menetapkan semula sasaran kemasukan pelancong untuk tahun ini daripada lima juta yang ditetapkan pada tahun lepas kepada hanya dua juta.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan, penurunan sasaran tersebut diputuskan berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia hingga memaksa Sarawak menutup pintu masuk kepada para pelancong selain melaksanakan langkah-langkah lain selama hampir tiga bulan seterusnya menyebabkan kedatangan pelancong merudum.

Jelas beliau, sasaran lima juta pelancong untuk tahun ini sudah pasti tidak dapat dicapai, namun beliau tetap gembira jika Sarawak mampu mencatatkan kedatangan dua juta pelancong.

Beliau yang merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak memaklumkan perkara berkenaan kepada pemberita selepas sesi dialog bersama industri pelancongan negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 22 Jun.

Kedatangan pelancong ke Sarawak dari Januari hingga Mei tahun ini telah menurun 48.9 peratus dengan jumlah kerugian industri pelancongan dianggarkan berjumlah hampir RM3 bilion dalam tempoh tersebut.

Tambah YB Datuk Haji Abdul Karim, sektor pelancongan kini tertumpu kepada pelancongan domestik untuk memulakan langkah pemulihan.

Beliau juga menjangkakan bahawa Sarawak tidak akan menerima ramai pelancong asing dalam tempoh enam bulan akan datang memandangkan masih banyak negara menutup pintu masuk ditambah dengan syarat kuarantin selama 14 hari untuk pelawat yang memasuki negeri ini serta kenaikan harga tiket penerbangan yang tinggi ketika ini.

Dalam pada itu, MOTAC telah memperuntukkan RM1 juta bagi memperkenalkan Pakej Insentif Pengunjung dari 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada syarikat pelancongan tempatan di Sarawak.

Walau bagaimanapun, insentif tersebut bergantung pada jumlah pengunjung yang menempah melalui syarikat pelancongan dan bilangan hari penginapan yang dihabiskan pelancong di negeri ini.

Comments are closed.