Pendekatan JTS berjaya kurangkan jumlah penduduk setinggan di Sarawak

art-234-01

Sarawak berjaya mengurangkan jumlah penduduk setinggan kepada 4,285 orang pada tahun ini berbanding dengan 9,760 orang pada 2010.

Usaha tersebut dicapai melalui penyediaan tanah lot kepada penduduk setinggan yang dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah memaklumkan, daripada jumlah tersebut, 2,307 orang daripada mereka telah dibantu untuk berpindah.

JTS telah membantu menyediakan lot-lot tanah untuk penduduk setinggan membina rumah yang lebih sempurna di kawasan yang lebih sesuai.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Menangani Isu Kemiskinan Bandar di Sarawak di Kuching pada 24 Jun.

Mengulas mengenai mesyuarat yang telah diadakan, YB Dato Sri Hajah Fatimah menjelaskan jawatankuasa berkenaan masih lagi mengguna pakai lapan cadangan yang dikemukakan menerusi Kajian Kemiskinan Bandar Sarawak yang merangkumi pewujudan pangkalan data golongan miskin bandar, skim-skim bantuan perumahan dan peningkatan kemahiran.

Jelas beliau, pangkalan data berkaitan statistik golongan miskin bandar terkini dan bersepadu juga diperlukan memandangkan sesetengah data yang disimpan oleh agensi-agensi berkaitan tidak menyeluruh.

Menurut beliau, data-data tersebut boleh dijadikan sebagai sumber rujukan untuk membuat dasar yang boleh membantu dalam proses perancangan bandar, pendidikan serta penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.

Untuk mendapatkan data yang sahih, tidak bertindih dan mempunyai kredibiliti, maklumat daripada pelbagai pertubuhan sosial, badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan dan senarai eKasih perlu digabungkan, jelas beliau.

Selain itu, penglibatan pekerja sosial yang profesional juga diperlukan dalam mengenal pasti, seterusnya membantu menangani isu-isu lain yang timbul daripada masalah kemiskinan bandar dengan melibatkan golongan tersebut berusaha untuk merubah sikap, keyakinan diri dan corak pemikiran.

Beliau turut berpendapat bahawa peningkatan migrasi penduduk luar bandar yang memiliki pembangunan diri yang rendah ke kawasan bandar merupakan antara punca wujudnya populasi miskin bandar di Sarawak.

Comments are closed.