Bangunan Baharu Majlis Bandaraya Miri Kini Siap 60 Peratus

Art-250-01

Projek pembinaan bangunan baharu Majlis Bandaraya Miri (MBM) kini  telah siap 60 peratus.

Projek yang dimajukan oleh syarikat Riaplus Sdn Bhd itu terletak di Taman Pusat Miri Marina Parkcity mengadap Laut China Selatan akan memperkukuhkan imej Miri sebagai bandar raya Pelancongan selain menjadi bangunan ikonik yang mampu menjadi daya tarikan kepada para pelancong.

Bangunan tersebut akan menempatkan menara setinggi sembilan tingkat, pelantar persiaran atau taman bertingkat, ruang legar di pintu masuk, parkir kereta separa bertingkat, bilik-bilik acara atau persidangan,dewan teater untuk keperluan masa akan datang dan sebagainya.

Uniknya bangunan baharu ini ialah, anda dapat menyaksikan pemandangan iaitu pinggir pantai, Taman Marina dan Laut China Selatan sebaik berada di ruang legar pintu masuk bangunan ini

Selain itu, reka bentuknya yang menggabungkan elemen Indeks Bangunan Hijau seperti penggunaan tenaga dan air yang cekap, jaminan kualiti alam sekitar, perancangan dan pengurusan tapak yang mampan, penggunaan bahan dan sumber yang efisien dan reka bentuk yang inovatif turut menggalakkan kelestarian dalam persekitaran yang dibina.

Projek pembinaan bangunan baharu MBM yang bernilai RM70 juta ini telah diumumkan oleh Ketua Menteri, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg semasa Sambutan Hari Bandar Raya Miri ke-13 pada Julai 2018.

Comments are closed.