Songket dan Keringkam Sarawak Perlukan Suntikan Inovatif untuk Lebih Kompetitif

art-252-01

Inovasi serta idea kontemporari perlu disuntik dalam penghasilan kain songket dan keringkam Sarawak agar kedua-dua warisan negeri ini lebih kompetitif dan relevan dengan penggunaan masa kini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan YB Datuk Seri Hajah Nancy Shukri, potensi kain songket dan keringkam Sarawak masih belum diterokai.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MOTAC) mencipta songket dan keringkam yang boleh dipakai untuk apa sahaja majlis, lebih kasual tetapi masih mengekalkan tradisinya.

Beliau juga mahu setiap pelancong atau pelawat yang datang ke Sarawak membawa pulang songket dan keringkam Sarawak, seterusnya mempromosikan produk pelancongan tempatan secara tidak langsung.

Tambah beliau, penglibatan golongan muda dalam penghasilan songket dan keringkam perlu digalakkan dan dipertingkatkan lagi pada masa kini bagi memastikan warisan berharga Sarawak berkenaan terus dimartabatkan selain mampu bersaing dengan fabrik lain di pasaran.

Beliau memaklumkan perkara tersebut pada sidang media selepas mengadakan lawatan mesra ke Galeri Songket dan Keringkam di bandar raya Kuching pada 2 Julai 2020.

Comments are closed.