RM2 juta diluluskan bagi kerja-kerja pembangunan prasarana di Lawas

art-257-01

Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina pelbagai prasarana di sekitar Parlimen Lawas

Perkara diumumkan oleh Menterinya, YB Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad setelah mengakhiri lawatan 3 hari ke daerah tersebut.

Beliau turut meluluskan projek prasarana yang melibatkan pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD) sepanjang 600 meter dari Sekolah Kebangsaan Long Tukon dan Kg Long Kachu, di Lawas, bernilai RM500,000.00

Jelas beliau lagi, projek tersebut akan mengatasi masalah banjir yang berlaku di sepanjang laluan ini sebelum ini serta memudahkan akses penduduk kampung bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah Long Tukon.

Selain itu, permohonan pembinaan titi di Kampung Perpindahan Awat Awat bernilai RM400,000.00 diluluskan bersesuaian dengan aspirasi kerajaan memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan terbabit.

Kementerian turut juga meluluskan pembinaan 10 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan kos bina baharu RM600,000.00 di Lawas.

Bagaimanapun, katanya projek membabitkan Jalan Luar Bandar (JALB) melibatkan kos RM125.5 juta dari Kampung Murud Suang ke Long Tengoa, Lawas, Sarawak sepanjang 20 km akan dipertimbangkan bagi kelulusan pihak kerajaan pusat.

Pada perkara berkaitan, jelas beliau kementerian akan terus memacu ekonomi luar bandar bukan sahaja dengan membina prasarana yang diperlukan masyarakat luar bandar untuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta menumpukan kepada aspek menaik taraf sosio ekonomi golongan B40 menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Sepanjang lawatan 3 harinya, beliau telah meninjau tapak Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Jalan Luar Bandar (JALB) bersama timbalannya YB Datuk Henry Sum Agong dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak,YB Dr Abdul Rahman Ismail.

Beliau turut meninjau tapak pembinaan titi di Kampung Perpindahan Awat Awat bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Comments are closed.