i-Syariah Tingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak

art-259-01

Pengenalan sistem i-Syariah bakal menjadikan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) sebuah agensi pelaksana yang lebih efisien dan efektif seterusnya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Bukan itu sahaja, malah sistem berkenaan yang dibangunkan Sarawak Information Systems (SAINS) menjadikan hubungan di antara warga JKSS bertambah erat kerana maklumat kini lebih mudah diakses selain mesra pengguna.

Demikian menurut Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) YB Datuk Abdul Rahman Junaidi ketika melancarkan sistem tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuching pada 6 Julai.

Beliau mengucapkan tahniah kepada JKSS kerana menjadi agensi pertama di Malaysia menggunakan sistem pengurusan berasaskan teknologi dan maklumat (ICT).

Melalui i-Syariah, beliau percaya masalah birokrasi dapat dikurangkan dan aduan mengenai perkhidmatan jabatan berkenaan juga dapat disalurkan secara langsung.

Sistem tersebut juga tambah beliau akan memberi banyak manfaat kepada Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan data dan maklumat pelanggan.

Menurut YB Datuk Abdul Rahman, penggunaan ICT amat penting bagi memperkasa dan mengubah kehidupan masyarakat menerusi pelbagai bentuk penyelesaian terhadap keperluan pengguna dan jelas beliau lagi, di Sarawak, ICT bertindak sebagai pemboleh upaya pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sejak sedekad yang lalu.

Menyentuh mengenai situasi semasa pademik COVID-19, beliau turut yakin dan percaya bahawa kebergantungan masyarakat terhadap capaian dan jaringan internet semakin memuncak ketika wabak tersebut melanda dan konsep bekerja dari rumah termasuk penggunaan aplikasi komunikasi seperti Zoom Meeting, Google Meet, Skype for Business dan sebagainya sudah menjadi kebiasaan.

Comments are closed.