Program Pertanian Bandar Memupuk Minat Terhadap Kepentingan Pertanian

Art-261-01

Matlamat Program Pertanian Bandar adalah untuk memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian sebagai penyumbang terus kepada kesejahteraan serta keceriaan persekitaran komuniti bandar.

Selain itu, program ini juga adalah untuk menggalakkan penduduk setempat menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan bagi menampung keperluan harian pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup.

Program seumpama ini akan dapat membantu menambahkan pendapatan sampingan komuniti bandar melalui lebihan pengeluaran hasil pertanian secara tidak langsung akan menyokong usaha Kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan negara.

Semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berminat dan komited untuk melaksanakan projek pertanian digalakkan untuk menyertai program ini dan bersedia memberi komitmen sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, program ini hanya terhad kepada satu permohonan sahaja serta terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu kategori komuniti dan kategori individu.

Kategori komuniti dilaksanakan di sekitar kediaman secara berkumpulan dengan bilangan ahli adalah minima 10 orang manakala kategori individu dilaksanakan secara individu di kawasan kediaman masing-masing.

Insentif berbentuk input pertanian, latihan, khidmat nasihat dan teknikal (kerja-kerja penyediaan kawasan) akan diberikan secara “one-off” kepada para peserta.

Bagi yang berminat untuk menyertai program ini, mereka boleh mendapatkan borang permohonan di laman web Jabatan Pertanian www.doa.gov.my.

Selepas permohonan lengkap diterima, Pegawai Jabatan Pertanian akan melawat kawasan projek untuk menentukan kategori projek, kesesuaian tapak dan jenis bantuan atau insentif yang akan diberikan.

Untuk rekod, sejak 2014 sehingga kini, seramai 124,988 orang termasuk dari sekolah, institusi, individu dan komuniti di 5,065 lokasi seluruh negara telah terbabit dalam program pertanian bandar.

Comments are closed.