Sarawak Cadang Tubuh Semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan


art-266-01

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah

Kerajaan Sarawak akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, pihak kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi membincangkan cadangan penubuhan semula jawatankuasa berkenaan yang ditamatkan perkhidmatannya pada 2 Julai 2019.

Jelas beliau, jawatankuasa tersebut sebenarnya dapat membantu dalam membuat tapisan dan pengesahan dokumen yang lengkap dan sahih untuk diberikan sokongan sebelum dimajukan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan KDN.

Tindakan tersebut diyakini dapat memudahkan lagi tugas KDN dalam memproses permohonan kewarganegaraan.

YB Dato Sri Hajah Fatimah memaklumkan perkara tersebut pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di pejabat beliau di Kuching pada 8 Julai.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 717 kes permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan bagi kanak-kanak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dimajukan oleh jawatankuasa itu yang ditubuhkan pada 2016.

Comments are closed.