Banci Negara 2020 Penting Bagi Pembangunan Sarawak

art-273-01Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg melancarkan MyCensus 2020 Sarawak di pejabat beliau di Wisma bapa Malaysia pada 13 Julai 2020. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion (kanan) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) YBhg Datu Ik Pahon Joyik (kiri).

Banci Negara 2020 yang sedang dilaksanakan amat penting untuk perancangan pembangunan negara amnya dan Sarawak khususnya.

Demikian menurut Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg selepas melancarkan banci penduduk dan perumahan negara 2020 (MyCensus 2020) untuk Sarawak di pejabat beliau di Wisma bapa Malaysia pada 13 Julai 2020

Sebagai contoh, dalam mengetengahkan jumlah pendapatan isi rumah yang rendah di Sarawak, jelas beliau angka pendapatan per kapita yang tinggi untuk Sarawak tidak menggambarkan gambaran sebenar pengagihan kekayaan di negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, dasar pembangunan ekonomi Sarawak perlu digubal semula dan disesuaikan dalam menangani pendapatan isi rumah yang rendah pada RM5,218 untuk 2019 supaya pengagihan ekonomi menjadi lebih saksama kepada rakyat Sarawak.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak ( dianggarkan berasaskan KDNK sebenar pada RM136.05 bilion) adalah tinggi disebabkan perolehan hasil daripada industri minyak dan gas tetapi ia tidak menterjemahkan  pendapatan sebenar rakyat.

Jelas beliau lagi, KDNK per kapita (dianggarkan pada RM53,317 untuk tahun 2019) bukanlah memberikan gambaran sebenar pendapatan rakyat.

Beliau menambah bahawa pengumuman terkini kerajaan persekutuan untuk menaikkan garis kemiskinan dari RM980 kepada RM2,208  akan meletakkan lebih ramai lagi ke tahap kemiskinan.

Terdahulu,  Ketua Menteri telah diberi taklimat mengenai pelaksanaan Banci oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Dayang Rozana binti Abang Hassan.

Dapatan banci akan membantu Sarawak untuk merumuskan pelbagai pendekatan ekonomi yang bersesuaian dengan peningkatan pendapatan rakyat.

Beliau menekankan bahawa data dari banci tersebut penting bagi Sarawak serta menggesa rakyat Sarawak supaya memberikan kerjasama dengan Jabatan Perangkaaan dalam memastikan usaha ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datuk Amar Jaul Samion dan Timbalan Pesuruhjaya Banci Sarawak, YB Datu Ik Pahon ak Joyik yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pelaksanaan banci penduduk Malaysia dan perumahan telah diadakan sebanyak lima kali sejak 1970 dan kali terakhir yang diadakan pada 6 Julai 2010.

Hari Banci tahun ini ditetapkan pada 7 Julai yang turut menyaksikan pengenalan sistem banci penduduk bersepadu Malaysia (MyIPCS) dalam usaha  memodenkan Banci 2020 (MyCensus2020).

Sistem Banci yang berpusat dan komprehensif dengan ciri e-Banci yang lebih baik ini menyediakan rangka kerja yang bersepadu yang merangkumi proses pengumpulan yang komplek, analisis dan penyebaran.

Ia turut memasukkan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga termasuk pusingan Banci 2020 untuk mendapatkan maklumat tentang corak gaya hidup yang sentiasa  dalam masyarakat.

 

Comments are closed.