Projek Bekalan Air dari Kota Samarahan ke Sebuyau siap menjelang 2021

art-276-01Peta keseluruhan Projek Bekalan Air di Bahagian Samarahan

Penantian penduduk Bahagian Samarahan terutama berhadapan dengan kemelut bekalan air akan diselesaikan melalui pelaksanaan Projek Rakyat Bekalan Air dari Kota Samarahan ke Sebuyau dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2021.

Menurut kenyataan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) baru-baru ini, inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan JBALB ini akan memberi impak manfaat kepada lebih 85,000 penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan.

Untuk rekod, sebelum pelaksanaan Projek Rakyat bagi Bahagian Samarahan, sumber bekalan air telah dibekalkan melalui Lembaga Air Kuching (LAK) dari Entingan Reservoir dan disalurkan menggunakan paip yang merentasi Sungai Batang Samarahan untuk menyalurkan air terawat kepada kawasan Asajaya dan Sadong Jaya.

Walau bagaimanapun, kebocoran paip yang kerap berlaku telah menyebabkan bekalan air ke kawasan Asajaya dan Sadong Jaya sering terjejas.

Bagi memastikan penduduk-penduduk di Bahagian Samarahan ini menikmati bekalan air bersih yang lebih baik dan berterusan, Ketua Menteri, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah meluluskan 21 Projek Rakyat Bekalan Air yang bernilai lebih kurang RM 450 juta.

Projek Rakyat berimpak besar tersebut melibatkan kerja-kerja pembinaan saluran paip baharu, pembinaan Tangki Aras Tinggi, pembinaan stesen pam penggalak, serta kerja-kerja penaiktarafan loji rawatan air dan dilaksanakan pada 2 peringkat iaitu intervention projects dan projek untuk pelan jangka panjang (long term projects) untuk mewujudkan Sistem Grid Bekalan Air yang lebih bersepadu.

Daripada 21 jumlah projek ini, 12 projek telah siap, 7 projek dalam fasa pembinaan dan 1 projek sedang dalam penilaian tender and 1 projek akan ditender tidak lama lagi.

Comments are closed.