Tiada Rakyat yang Tercicir dalam Inisiatif Kerajaan Mengurangkan Impak COVID-19

art-284-01

Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), terutamanya golongan B40.

Jelas beliau, lebih daripada 53 agensi kerajaan di bawah Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang akan memantau pelaksanaan program PRIHATIN di seluruh negara.

Beliau memaklumkan perkara tersebut sebagai menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan YB Rubiah Wang semasa sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai.

Jelas Perdana Menteri lagi, kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan PRIHATIN bernilai RM250 bilion, PRIHATIN Tambahan bernilai RM10 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion dalam usaha untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa peratusan kadar pengangguran dijangka meningkat berikutan krisis kesihatan global yang berlaku sekarang, namun memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan impaknya kepada rakyat dapat dikurangkan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Tambah beliau, disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pertumbuhan ekonomi negara akan mengalami penurunan ketara dalam suku kedua, namun dijangka berkembang semula dalam suku ketiga dan keempat selepas pembukaan ekonomi.

Dari segi kadar pengangguran, Jabatan Perangkaan Negara mengunjurkan bahawa kadar pengangguran bakal meningkat kepada 5.5 peratus disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik tersebut.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga sedang merangka pelbagai dasar dan strategi khusus untuk menstruktur dan mengukuhkan semula ekonomi serta menangani ketidakseimbangan pembangunan sosio-ekonomi yang akan dibentangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 pada awal tahun depan.

Comments are closed.