Program Bas Sekolah Percuma Ringankan Beban Golongan Berpendapatan Rendah

art-286-01

art-286-02

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, beliau sendiri mendengar rintihan ibu bapa yang mengadu tidak mampu untuk menampung cas tambang bas sekolah sekitar RM80 hingga RM120 sebulan untuk menghantar anak yang ramai ke sekolah.

“Saya berfikir mungkin ramai lagi ibu bapa yang mengalami nasib yang sama. Maka dengan itu timbul inisiatif untuk melancarkan Program Bas Sekolah Percuma bagi memastikan tiada anak-anak yang tidak mampu ke sekolah.

‘’Dengan adanya program bas percuma, anak-anak murid akan sampai ke sekolah mengikut jadual yang ditetapkan”, ujar beliau ketika melancarkan program berkenaan di SMA Creative Heritage Innovation Centre di Bangunan Yayasan Sarawak, Kuching pada 15 Julai.

Tambah Ketua Menteri, ibu bapa juga tidak perlu risau dan merasa terbeban menanggung perbelanjaan pengangkutan untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan anak-anak tidak lagi mempunyai masalah untuk ke sekolah.

Ketua Menteri percaya program tersebut tidak hanya dilaksanakan di Kuching kerana populasi penduduk di Sarawak semakin bertambah dan kemungkinan akan diperluaskan ke bahagian-bahagian lain seperti di Sibu dan Miri.

Program Bas Sekolah Percuma adalah kerjasama di antara Yayasan Sarawak, Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Sarawak, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.

Dalam pada itu, Pengarah Yayasan Sarawak Haji Azmi Haji Bujang memaklumkan, perkhidmatan bas sekolah percuma di Kuching dan Padawan dibahagikan kepada 18 zon, melibatkan 32 buah sekolah dengan 46 buah bas serta van sekolah.

Kesemua bas dan van sekolah di bawah program berkenaan dilengkapi dengan sistem pengesanan GPS yang membolehkan paparan lokasi bas dapat dipantau menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun pada telefon pintar menerusi Google Play dan App Store.

Beliau menambah, jadual perjalanan bas dan van sekolah bermula seawal pukul 5.30 pagi, tengah hari dan petang.

Yang turut hadir pada majlis pelancaran program tersebut ialah Menteri Pengangkutan YB Datuk Lee Kim Shin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan YB Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Bekalan Air YB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Comments are closed.