Seramai 590,000 pengguna domestik menikmati diskaun elektrik

art-293-01

Seramai 590,000 pengguna domestik di seluruh Sarawak menikmati diskaun elektrik yang ditawarkan Kerajaan Sarawak bagi meringankan beban rakyat, kesan daripada pandemik COVID-19.

Menjelaskan mengenai perkara tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 16 Julai, Menteri Utiliti YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pengguna domestik Sarawak ditawarkan diskaun 23 peratus ke atas penggunaan elektrik dari April hingga September 2020.

Tawaran tersebut adalah tambahan kepada diskaun dua peratus oleh Kerajaan Persekutuan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Jelas beliau, secara keseluruhan, pengguna domestik di negeri ini menikmati 25 peratus diskaun dengan anggaran kos yang ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM84.6 juta, iaitu dua peratus daripadanya adalah untuk seluruh rakyat Malaysia dengan anggaran kos ditanggung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM6.8 juta.

Manakala anggaran kos yang ditanggung Kerajaan Sarawak pula adalah sebanyak RM77.8 juta daripada 23 peratus diskaun yang ditawarkan.

Tambah beliau, pemberian diskaun bil elektrik untuk rakyat Sarawak adalah salah satu daripada inisiatif di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan pendekatan proaktif Kerajaan Sarawak bagi mengurangkan impak COVID-19 ke atas rakyat.

Beliau turut memaklumkan Kementerian Utiliti akan memantau situasi dan memastikan pakej bantuan untuk sektor elektrik akan terus meringankan beban ekonomi rakyat.

Pihak kementerian juga akan menyemak semula pakej termasuk tempoh relevan bagi diskaun dan bekerjasama dengan Sarawak Energy untuk memastikan rakyat Sarawak mendapat akses kepada tenaga yang baik dan berpatutan dalam masa sukar yang sedang dihadapi sekarang.

Comments are closed.