Cadangan Mewajibkan Penggunaan Pelitup Muka di Tempat Awam Disambut Baik

art-304-01.JPG

Cadangan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewajibkan penggunaan pelitup muka di tempat awam disambut baik oleh Kerajaan Sarawak.

Sokongan itu disuarakan Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu sidang media di Kuching pada 20 Julai.

Menurut beliau, sains telah membuktikan bahawa penggunaan pelitup muka membantu mencegah penularan penyakit.

Beliau menambah, JPBNS akan menunggu keputusan muktamad Kerajaan Persekutuan dan akan berbincang dengan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg yang juga Penasihat JPBNS.

Jelas beliau lagi, kerajaan sememangnya menggalakkan rakyat agar sentiasa memakai pelitup muka dan sehubungan itu, JPBNS memerlukan pandangan daripada Jabatan Kesihatan sama ada rakyat boleh memakai pelitup muka jenis boleh diguna semula memandangkan penggunaan pelitup muka pakai buang menelan perbelanjaan yang tinggi kepada rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memaklumkan, perincian mengenai cadangan tersebut akan diumumkan setelah peraturan-peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.

Comments are closed.