Kerajaan Malaysia Terus Komited Membanteras Rasuah

art-302-01

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sebagai inisiatif kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti

Kerajaan Malaysia terus komited untuk menentang dan membanteras rasuah dengan meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan berteraskan prinsip governans, integriti dan antirasuah.

Perkara ini ditegaskan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin Ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beaufort pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat mengenai komitmen kerajaan dalam menangani isu integriti dan rasuah serta status inisiatif di dalam NACP 2019 – 2023 baru-baru ini.

Jelas beliau, hal ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Sidang Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 pada 18 Mei 2020 yang lalu agar kerajaan terus melaksanakan NACP.

Setakat 31 Mei 2020, sebanyak 28 inisiatif di bawah (6) strategi pelaksanaan NACP berkenaan telah selesai dilaksanakan.

Inisiatif-inisiatif tersebut membabitkan Tadbir Urus Politik–13, Pentadbiran Sektor Awam–3, Perolehan Awam-4, Perundangan dan Kehakiman–1, Penguatkuasaan Undang-Undang–5 dan Tadbir Urus Korporat–2.

Selain itu, peranan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) turut dikekalkan bagi memastikan hasrat murni kerajaan ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

Jawatankuasa Antirasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat Kementerian dan Jabatan juga akan diteruskan bagi memastikan dasar yang dirangka tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan dan rasuah.

Semua pendekatan dan usaha ke arah membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa akan diberikan penekanan oleh Kerajaan Malaysia melalui dasar-dasar yang telah dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam inisiatif NACP 2019-2023.

Comments are closed.