Stesen Televisyen Tempatan Beri Peluang Pemain Industri Seni Kreatif Berkarya

art-309-01

Sarawak bakal memiliki stesen televisyen sendiri yang membawa jenama TV Sarawak menjelang akhir tahun ini.

TV Sarawak yang telah mendapat kelulusan dan lesen selama 10 tahun daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diwujudkan bagi merancakkan industri seni kreatif di Sarawak.

Selain menggalakkan penghasilan karya seni, platform penyiaran tersebut juga akan menjana pendapatan pemain industri di negeri ini.

Sehubungan itu, Sarawak Media Group (SMG) serta syarikat berkaitan Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dalam mengurus dan mengendalikan TV Sarawak yang menyediakan saluran percuma di samping menyediakan perkhidmatan penerbitan dalam talian dan penyediaan maklumat.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam ucapan beliau sempena Sambutan Hari Sarawak 2020 di Miri pada 22 Julai.

Pada masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan penglibatan pemain industri kreatif dan merebut peluang keemasan ini serta menghasilkan karya seni apabila stesen televisyen berkenaan mula beroperasi sepenuhnya kelak.

Comments are closed.