TEGAS Laksanakan Lima Program Secara Maya

art-310-01Rancangan TV online TEGAS episod pertama telah bermula pada 13 Julai 2020

Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) akan melaksanakan lima (5) program secara maya sebagai langkah proaktif untuk terus memperkasakan generasi muda dengan kamahiran-kemahiran digital dan reka cipta yang tinggi.

Lima (5) program tersebut ialah TEGAS Makers Challenge, STEM Virtual PAY 2020, TEGAS STEM@HOME 2020, Randau TEGAS Bersama Pemimpin dan Pertandingan Video Pendek 81 Inisiatif Kerajaan Sarawak.

TEGAS Makers Challenge adalah sebuah program digital yang berasaskan bengkel dan pertandingan bagi menggalakkan pelajar sekolah untuk meneroka minat mereka, belajar mencipta dan berkongsi idea bagi menghasilkan produk fizikal dan digital yang inovatif.

Pertandingan ini merangkumi DIY online makers yang akan bermula pada 17 Ogos 2020 sehingga 16 September 2020 dan Makers Workshop Challenge bermula pada 1 September hingga 17 Oktober 2020.

Program STEM Virtual Fair 2020 pula akan bermula pada 28 September hingga 4 Oktober 2020 bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka aktiviti-aktiviti secara simulasi dalam talian pada bila-bila masa dan dimana sahaja mereka berada termasuk Ketika berada di rumah ataupun di sekolah.

Program Randau TEGAS Bersama Pemimpin akan bermula pada 3 Ogos hingga 21 Disember dan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi TEGAS dari jam 8.30 malam sehingga 10 malam pada setiap Isnin dan Jumaat.

Program ini akan melibatkan pemimpin tempatan sebagai landasan untuk menyalur maklumat terkini dalam isu kepimpinan bersama-sama rakyat baik di kawasan mereka sendiri ataupun di luar kawasan mereka.

Program STEM@HOME 2020 adalah sebuah rancangan TV dalam talian untuk kanak-kanak dan pelajar yang bertujuan untuk menarik minat mereka terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program ini merangkumi tiga segmen penting iaitu eksperimen dan demonstrasi, fakta STEM dan Kuiz dan telah pun bermula pada 13 Julai dan berakhir pada 31 Disember 2020.

Program terakhir  ialah Pertandingan Video Pendek 81 Inisiatif Kerajaan Sarawak bertujuan untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada belia Sarawak tentang 81 inisiatif atau projek yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

Pendaftaran bagi pertandingan video pendek ini telah pun mula dibuka pada 13 Julai 2020 dan akan berakhir pada 13 September 2020.

Comments are closed.