Program Social Impact Accelerator, TEGAS akan bermula September 2020

art-313-01Program SIA disokong sepenuhnya oleh SMA dan merupakan program utama dalam Sarawak Digital Ecosystem (SDE)

Kerajaan Sarawak melalui Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) akan melaksanakan program Social Impact Accelerator (SIA) siri yang pertama pada September 2020 sehingga ke Februari 2021.

Program yang mengambil masa enam bulan ini adalah selari dengan misi Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan jumlah usahawan sosial di samping mempromosikan inovasi digital serta budaya keusahawanan di Sarawak dalam usaha memacu pertumbuhan perusahaan sosial peringkat awal di Sarawak.

Bagi menjayakan program ini, TEGAS akan bekerjasama dengan rakan strategik iaitu Youth Trust Foundation (myHarapan) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

myHarapan amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan TEGAS bagi melaksanakan program tersebut ke arah mencipta dan merancakkan ekosistem keusahawanan sosial di Sarawak yang pastinya akan memberikan impak positif kepada golongan tersebut.

Usahawan sosial yang terpilih akan mengikuti sesi bimbingan dan mentor oleh pakar industri dan usahawan berpengalaman.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan ditawarkan kelebihan akses kepada Geran dan Pembiayaan, akses ke Hub Inovasi Digital SMA-TEGAS di Kuching, Bintulu dan Miri dan Escape oleh Hub Inovasi Etiqa (KL) dan akses jaringan Ekosistem Digital Sarawak (SDE).

TEGAS juga bekerjasama dengan SMA dalam mengendalikan operasi Hub Inovasi Digital SMA-TEGAS di Kuching, Bintulu dan Miri.

Setiap penyertaan program ini mestilah merupakan perusahaan sosial berpangkalan di Sarawak dan mempunyai pegangan syer sekurang-kurangnya 51% milik rakyat Sarawak.

Perusahaan tersebut juga hendaklah telah memulakan operasi sekurang-kurangnya 6 bulan dan tidak melebihi 3 tahun dengan bukti prestasi pasaran dalam bentuk perolehan atau tarikan pelanggan.

Comments are closed.