Kemudahan Kesihatan Penuhi Keperluan Penduduk Sri Aman

art-319-01Lakaran artis hospital baharu Sri Aman 

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk kemudahan kesihatan yang moden dan serba lengkap demi meningkatkan tahap kesihatan penduduk di luar bandar terutamanya di Bahagian Sri Aman.

Sejak lebih 20 tahun yang lalu, Bahagian Sri Aman yang meliputi Daerah Sri Aman, Daerah Lubok Antu termasuklah Daerah Kecil Lingga, Daerah Kecil Pantu dan Daerah Kecil Engkilili semakin membangun.

Walau bagaimanapun, kemudahan-kemudahan kesihatan seperti hospital, klinik kesihatan, klinik-klinik desa, klinik pergigian dan farmasi lebih diperlukan kerana ia adalah tempat rakyat mendapatkan rawatan

Sehingga kini, kualiti perkhidmatan kesihatan di Bahagian Sri Aman sudah banyak dinaiktaraf serta dipermodenkan dan setakat ini, Bahagian Sri Aman sudah ada 15 buah klinik kesihatan kerajaan, tiga klinik kesihatan swasta, satu klinik pergigian kerajaan dan satu klinik pergigian swasta.

Tidak lama lagi, hospital baharu Sri Aman yang kini sedang dalam proses pembinaan bakal menjadi hospital utama dan memberi manfaat kepada seramai 106, 700 orang penduduk dan kawasan sekitarnya apabila mula beroperasi kelak

Hospital yang dibina dengan kos RM175.27 juta itu kini sudah 82.5 peratus siap dan dijangka beroperasi pada pertengahan tahun 2021 selepas tempoh percubaan selama enam bulan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, Klinik Kesihatan Lubok Antu juga akan dibina dalam masa terdekat sebagai satu usaha untuk memberi perkhidmatan bermutu dan meningkatkan taraf kesihatan penduduk.

Pembinaan klinik kesihatan baharu Lubok Antu (Jenis 4) di kawasan seluas empat (4) hektar, bernilai RM28 juta itu sudah pasti memberi nafas lega kepada penduduk kerana ia akan dapat menampung lebih ramai pesakit untuk mendapatkan rawatan dalam satu-satu masa.

Klinik kesihatan yang dijangka siap hujung tahun 2021 akan mempunyai empat (4) blok kuarters untuk kemudahan kakitangannya selain mempunyai kediaman yang baik dengan kelengkapan dan fasiliti lebih selesa untuk kakitangan yang bertugas.

Comments are closed.